Saturday, July 23, 2011

Moral skuad Olimpik kian meningkat

SKUAD Olimpik negara berlepas ke Slovakia semalam dengan semangat baru selepas mencipta aksi terpuji biarpun tumpas 1-0 kepada salah satu kelab terbaik Eropah, Chelsea kelmarin.

Ternyata pengalaman bertemu skuad yang dilimpahi pemain bintang itu bakal menyemarakkan lagi semangat anak buah jurulatih Ong Kim Swee dalam memberi fokus semula kepada persiapan menghadapi saingan peringkat Kumpulan C kelayakan Olimpik London 2012 bermula September depan.

Menurut Kim Swee, beliau puas hati dengan aksi pemain muda yang kebanyakannya diberi peluang pada separuh masa kedua ketika skuad pilihan Malaysia menentang The Blues di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Secara keseluruhan pemain skuad Olimpik menunjukkan karektor yang bagus, jika mereka diberikan lebih banyak peluang beraksi dalam perlawanan antarabangsa, saya fikir mereka akan menjadi lebih bagus,” katanya.

Strategi Kim Swee menggabungkan sembilan pemain senior dengan pemain skuad Olimpik nyata menjadi apabila hampir membuat kejutan ke atas Chelsea yang pada mulanya begitu yakin mampu mencipta kemenangan besar.

Kehadiran pemain berpengalaman Sharulnizam Mustapha yang sentiasa bertenaga, kapten, Norhafiz Zamani Misbah yang menjadi nadi bahagian pertahanan sambil dibantu ketangkasan Mohd Farizal Marlias di pintu gol hampir membuatkan anak buah Andre Villas-Boas berputih mata.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...