Saturday, July 23, 2011

Peminat dinasihat jangan beli tiket perlawanan Malaysia-Singapura dalam talian

SINGAPURA: Peminat bola sepak dinasihat jangan membeli tiket di e-bay untuk menyaksikan perlawanan awal antara Malaysia dan Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 bagi zon Asia yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, hari ini. 

Timbalan Pengarah Bagi Pemasaran dan Pertandingan, Persatuan Bolasepak Singapura (FAS), Ridzal Saat berkata mereka yang gagal mendapatkan tiket boleh menyaksikan perlawanan secara langsung menerusi skrin besar yang diletakkan berhampiran stadium berkenaan.
Bercakap kepada pemberita di Stadium Jalan Besar semalam, beliau berkata mereka tidak perlu membeli tiket di e-bay kerana harganya mencecah S$400 setiap satu.


"Kita tidak boleh berbuat apa-apa, namun peminat yang tidak mempunyai tiket dinasihatkan menonton skrin besar yang memaparkan perlawanan itu secara langsung," katanya yang turut menafikan FAS mempunyai kaitan dengan penjualan tiket secara dalam talian (online). 

Ridzal juga berkata pihaknya tidak tahu jumlah tiket yang dijual atau diletakkan untuk dibida menerusi laman web. 

Jerry Jamal, 51, yang mendakwa sebagai peminat bola sepak warga Singapura berkata FAS tidak sepatutnya membuka talian bidaan bagi tiket berharga S$15 sehingga menyebabkan harganya melambung kepada S$400 bagi setiap tiket. 

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana boleh menyebabkan perlawanan tersebut diatur," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...