Wednesday, July 13, 2011

'Singa' kembali

TENGKU Abdullah (kiri)  menyerahkan Jersi Harimau Malaya  kepada   Zainudin   pada majlis MOU antara FAS dan FAM di Wisma FAM, semalam.
TENGKU Abdullah (kiri) menyerahkan Jersi Harimau Malaya kepada Zainudin pada majlis MOU antara FAS dan FAM di Wisma FAM, semalam.



Sertai Liga M selepas 17 tahun menyepi

SELEPAS hampir 17 tahun menyepi, Singapura kembali diundang beraksi di bumi Malaysia - segala-galanya terarah kepada niat membuka lembaran baru pembangunan bola sepak remaja.
Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan ‘ikatan cinta’ dengan Persatuan Bolasepak Singapura akan disambung dengan skuad Harimau Muda beraksi di Liga Singapura pada 2012 manakala pasukan remaja negara republik itu, Young Lions beraksi dalam Liga Super, termasuk Piala Malaysia dan Piala FA pada tahun sama.


“Hubungan istimewa FAM dan FAS sudah terjalin sejak dulu lagi,” kata Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, semalam. “Pertukaran skuad muda ini pasti akan mengembalikan nostalgia lama dan peminat kedua-dua negara harus gembira semula.

FAM, FAS jalin kerjasama 4 tahun

NGAUMAN ‘harimau’ dan ‘singa’ - intipati yang pernah mewarnai kancah bola sepak dua musuh tradisi, Malaysia dan Singapura akan kembali bersatu selepas 17 tahun menyepi.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan menandatangani perjanjian empat tahun membabitkan pembangunan pasukan muda kebangsaan kedua-dua negara berkenaan. 

Antara tiga inisiatif dipersetujui FAM dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) untuk kerjasama bermula tahun depan ialah penyertaan Harimau Muda A dalam Liga Singapura dan sebagai satu pertukaran, pasukan Young Lions memperagakan kelibat dalam Liga Malaysia (Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA).

“Kerjasama ini menghidupkan kembali kegemilangan bola sepak antara dua negara yang sebelum ini pernah bersaing sengit dalam liga tempatan,” titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada sidang media di Wisma FAM semalam.

“Ia bakal memberi impak positif kepada pembangunan bola sepak di Malaysia dan Singapura serta membuka peluang kepada pemain muda kedua-dua negara menimba pengalaman di liga luar.

“Menerusi perjanjian ini, lebih banyak perlawanan persahabatan dan kompetitif dapat diadakan, sekali gus meningkatkan lagi mutu permainan bola sepak pemain muda Malaysia dan Singapura pada masa depan.”

Selain perlawanan liga, FAM dan FAS turut bersetuju mengadakan perlawanan antara juara Liga Malaysia dan Singapura, serta pertembungan antara juara Piala Malaysia dan Singapura.

Turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan ialah Presiden FAS, Zainudin Nordin yang mengakui rindukan persaingan sihat antara pasukan bola sepak Malaysia dan Singapura.

“Saingan antara dua negara ini pernah menghangatkan kancah bola sepak rantau ini untuk tempoh berdekad-dekad lamanya,” kata Zainudin. “Kini sudah tiba masanya untuk menjalinkan semula hubungan itu untuk masa depan bola sepak Malaysia dan Singapura.”

Namun sebelum kerjasama berkenaan bermula, dua negara ini bakal bertembung dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 yang akan berlangsung di Kota Singa itu pada 23 Julai dan di Bukit Jalil pada 28 Julai. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...