Wednesday, July 27, 2011

Sorakan 80,000 penyokong bukan masalah - Avramovich

BANGI - Jurulatih Singapura, Raddy Avramovich tidak menganggap aksi di laman sendiri akan memberi kelebihan mutlak kepada Harimau Malaya kerana perlawanan melibatkan '11 lawan 11'.

Meskipun mengakui pasukannya pasti dipengaruhi suasana gamat sorokan penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok, dia yakin anak-anak buahnya mampu menyerap tekanan tersebut.

"Memang sukar bermain di tempat lawan, tetapi saya tidak melihat kami berdepan lebih 80,000 orang di atas padang.

"Hakikatnya 11 pemain saya akan menentang 11 pemain Malaysia di atas padang," kata Avramovich ketika ditemui selepas mengendalikan latihan Singapura di Pusat Latihan Maybank, semalam.

Mengulas lanjut mengenai kemungkinan kehadiran lebih 80,000 penyokong Malaysia membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, beliau melihatnya dari sudut positif dan bukan sesuatu yang menakutkan.

"Bukankah bagus 80,000 penyokong menyaksikan perlawanan bola antara Malaysia dan Singapura, ini bermakna mutu bola sepak kami diiktiraf," jelasnya.

Sementara itu, ketua pasukan Singapura, Shahril Ishak memberi amaran kepada rakan sepasukannya bahawa perjuangan masih belum selesai dan mereka bakal mengharungi 90 minit penuh getir, esok.

Menurutnya, beraksi di tempat lawan akan memberi kelebihan kepada Malaysia namun dia percaya jika pemain kekal fokus dan beraksi cemerlang seperti tempoh hari, Singapura akan mara ke peringkat seterusnya.

"Saya memberitahu rakan sepasukan, pesta kemenangan Sabtu lalu perlu dilupakan buat sementara kerana perjuangan masih belum tamat.

"Kelebihan dua gol masih belum cukup selesa kerana Malaysia pastinya akan bangkit dan mampu beraksi lebih hebat di tempat sendiri," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...