Saturday, July 30, 2011

Terus sokong pasukan negara

KUALA LUMPUR - Pengurus skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Subahan Kamal memohon penyokong meneruskan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya seperti mana kehadiran 90,000 orang di Stadium Nasional kelmarin, walaupun Malaysia gagal meneruskan kemaraan Piala Dunia.

Beliau yang berterima kasih di atas sokongan luar biasa penyokong Malaysia ketika menentang Singapura kelmarin mengakui terharu dengan sokongan tidak berbelah bagi yang ditunjukkan kepada skuad Harimau Malaya.

"Terus terang saya katakan bahawa saya cukup terharu dengan sokongan yang diberikan oleh rakyat Malaysia, walaupun kita tidak mampu menang ke atas Singapura.

"Saya juga memohon maaf kerana Harimau Malaya tidak dapat mara ke peringkat seterusnya namun teruskanlah memberikan sokongan kepada kami, " ujarnya ketika dihubungi semalam.

Malaysia sekadar seri 1-1 dengan Singapura pada aksi timbal balik kedua kelmarin, membolehkan pasukan lawan mara dengan agregat 4-6.

Subahan berkata, beliau akan berjumpa dengan jurulatih, Datuk K. Rajagobal bagi menilai prestasi pemain secara keseluruhan sebelum membuat keputusan selanjutnya.

"Selepas ini, saya akan duduk semeja dengan jurulatih, Rajagobal, mengadakan 
post-mortemdan berbincang pemain-pemain mana yang akan kita kekal dan gugurkan.

"Ketiadaan beberapa pemain utama seperti Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim dan Zaquan Adha turut menjejaskan kekuatan kita pada perlawanan semalam.

"Saya bukan mahu memberi alasan tetapi faktor berkenaan perlu diambil kira, " ujarnya.

Tambah beliau, kekalahan 5-3 pada perlawanan timbal balik pertama memberikan satu tekanan hebat kepada para pemain sehingga mereka gagal mempamerkan belang sebenar bagi menjinakkan Singapura.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...