Saturday, August 27, 2011

Azraai nilai prestasi anak buah


NEGERI Sembilan bakal melengkapkan siri perlawanan persahabatan apabila bertemu Selangor di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini dan bagi Mohd Azraai Khor Abdullah, ia diharap memberi impak positif dalam usaha menjana keyakinan tinggi pemainnya menjelang sepak mula Piala Malaysia, 6 September ini.

Ketua jurulatih itu menyifatkan Selangor antara pencabar terkuat kempen Piala Malaysia dan sudah pasti dapat memberi peluang menilai prestasi anak buahnya.

Katanya, walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan seperti ketika menentang Johor FC, Sarawak dan Johor, hakikatnya pertemuan dengan Selangor menjawab persiapan dan prestasi pasukan.


“Perlawanan dengan Selangor ini penting dan diharap memberi impak lebih berkesan dalam usaha kami meletakkan pasukan pada prestasi memuaskan.

“Yang penting adalah keyakinan pemain tinggi untuk berdepan cabaran lebih getir sepanjang saingan Piala Malaysia. Setiap pemain perlu berada pada tahap benar-benar bersedia untuk menggalas cabaran itu.

“Oleh itu, saya harap semua pemain yang diuji dalam perlawanan itu menunjukkan keupayaan sebenar bagi memudahkan saya menilai kemampuan terkini pasukan,” katanya semalam.



Mengulas perebutan penjaga gawang utama antara Mohd Farizal Harun dan Mohd Farizal Marlias, Azraai berkata, ia suatu perkembangan yang sihat dan mampu memberikan impak baik kepada pasukan.

Baginya, kedua-dua pemain itu sudah menunjukkan peningkatan sepanjang persiapan pasukan.

“Kita memerlukan pemain terbaik dan sentiasa berada pada tahap prestasi memuaskan, justeru melalui persaingan ini akan mendorong mereka meningkatkan azam masing-masing untuk berada dalam kesebelasan utama,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...