Thursday, August 11, 2011

Dilema Perak berakhir


PERAK lega dengan kehadiran tiga pemain pinjaman bagi mengisi kekosongan lima pemain yang digantung oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menghadapi kempen Piala Malaysia bermula 6 September depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharudin memberitahu, penjaring terbanyak pasukan Universiti Sains Malaysia (USM), Mohd. Failee Mohd. Ghazli adalah antara pemain yang dipinjam bagi memantapkan skuad Seladang.
Zainol berkata Mohd. Failee akan digandingkan dengan Mohd. Shafiq Jamal dalam usaha memperkemaskan jentera serangan dengan ketiadaan penjaring terbanyak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Perak menerima tamparan hebat apabila Akmal Rizal bersama-sama ketua pasukan, Shahrulnizam Mustapha; penjaga gol, Mohd. Nasril Nurdin; pemain tengah, Mohd. Syazwan Roslan dan pemain pertahanan, Azmeer Yusoff digantung tujuh perlawanan.
Kelima-lima pemain itu digantung gara-gara terlibat dalam in- siden mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah kepada pengadil perlawanan, Mohd. Sabri Mat Lazim dalam perlawanan Liga Super antara Perak dengan Sabah di Stadium TLDM, Lumut pada 19 Mei lalu.
Penyerang lincah USM itu telah menjaringkan 11 gol dalam kempen Liga Perdana yang berakhir pada bulan Jun lalu.
Selain Mohd. Failee, Perak turut meminjam pemain tengah Perlis, Mohd. Hafiszuan Salehuddin dan pertahanan Harimau Muda, Muhammad Rafiuddin Roddin.
Zainol berkata, ketiga-tiga pemain yang dipinjam itu diharapkan mampu mempertajamkan barisan serangan yang semakin hilang bisanya di penghujung Liga Super lalu.
“Perak perlukan barisan serangan yang lebih berbisa bagi me- nyaingi Sabah dan Kedah,” jelas Zainol.
Perak berada dalam Kumpulan A bersama-sama Sabah, Kedah dan Johor dalam saingan Piala Malaysia nanti.
Presiden Pafa itu memberitahu bahawa pemilihan ketiga-tiga pemain berkenaan dilakukan ketua jurulatih, Norizan Bakar bersama-sama beberapa pembantunya pada akhir bulan lalu.
“Seramai lapan pemain telah hadir dalam sesi pemilihan tersebut dan Mohd. Failee, Mohd. Hafiszuan dan Muhammad Rafiuddin menjadi pilihan Perak,” kata Zainol.
“Perak berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan oleh ketiga-tiga pemain berkenaan dalam sesi pemilihan pada penghujung Julai lalu.”

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...