Tuesday, August 16, 2011

Dollah terima apa sahaja keputusan PBNP


KETIKA kebanyakan jurulatih lain sibuk membuat perancangan menghadapi Piala Malaysia, pengendali Pahang, Dollah Salleh pula berdebar-debar menanti keputusan Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) sama ada masih mahu menggunakan khidmatnya selaku ketua jurulatih Tok Gajah musim depan.

Kedudukan jurulatih itu umpama ‘telur di hujung tanduk’ selepas gagal mengekalkan juara edisi pertama Liga Super itu untuk terus berada dalam saingan elit bola sepak tempatan musim depan.

Skuad Tok Gajah buat pertama kalinya akan beraksi di Liga Perdana musim depan selepas menjadi dua pasukan terbawah Liga Super musim ini dan keadaan bertambah rumit buat pengendali berusia 47 tahun itu apabila kecundang dalam aksi play-off Piala Malaysia kepada pasukan berstatus kelab dari Liga Perdana, Sime Darby FC.


“Saya tidak tahu bila keputusan akan dibuat namun terpulang kepada Presiden PBNP, Tengku Abdul Rahman Sultan Haji Ahmad Shah untuk menentukan kedudukan saya. Buat masa sekarang tugas saya sedang menyediakan laporan mengenai prestasi pasukan dan pemain Pahang musim ini,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, malam kelmarin.

Tambah jurulatih yang mula membimbing Tok Gajah pada pertengahan musim 2009, beliau bersedia menerima sebarang keputusan sama ada dikekal atau digugurkan oleh pihak persatuan kerana sebagai jurulatih profesional ia adalah lumrah.

“Namun sebolehnya saya berharap supaya terus dikekalkan dan mendapat keputusan itu secepat mungkin bagi membuat persediaan yang rapi. Musim ini saya tidak mempunyai barisan simpanan yang boleh menggantikan pemain dalam kesebelasan utama selain kecederaan enam pemain yang menjejaskan prestasi pasukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...