Monday, August 8, 2011

Hadiah banglo Apek siap Oktober


KOTA BHARU - Hadiah banglo satu tingkat dari kerajaan negeri kepada penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat atau 'Apek' yang dijanjikan Februari lalu, hanya dapat diserahkan Oktober ini kerana ia masih dalam proses pembinaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood berkata, pembinaan rumah bernilai RM100,000 oleh Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) melalui anak syarikatnya Binaraya, dijangka dapat disiapkan dalam tempoh sebulan lagi.

"Kita rancang untuk serahkan pada Julai, tetapi ada sedikit kelewatan kerana proses kelulusan memulakan projek perlu melalui dua tahap di PKINK dan Binaraya.

"Saya belum membuat tinjauan tetapi saya dimaklumkan bahagian dinding rumah sudah pun naik, saya jangka dalam masa sebulan rumah Apek akan siap, cuma perlu diberi masa lagi selepas itu untuk dimasukkan bekalan elektrik dan lain-lain sebelum diserahkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penyerahan cek bonus kemenangan Piala Malaysia 2010 kepada tiga bekas pemain Kelantan iaitu Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Mohamad dan Azizi Mat Rose dalam satu majlis ringkas di Kota Darulnaim di sini, semalam.

Kerajaan Kelantan pada awal Februari lalu berjanji membina sebuah rumah banglo satu tingkat di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa kepada Khairul Fahmi atas kejayaannya membantu pasukan bola sepak kebangsaan membawa pulang Piala Suzuki Disember tahun lalu.

Dalam pada itu, penyerahan cek masing-masing bernilai RM7,000 seorang kepada Indra Putra dan Nor Farhan serta RM3,500 kepada Azizi disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...