Monday, August 8, 2011

Kalahkan Harimau Malaya lonjak moral Selangor


SHAH ALAM – Kejayaan Selangor menumpaskan skuad bola sepak kebangsaan 1-0 pada aksi persahabatan kelmarin, disifatkan permulaan yang baik untuk memburu kejuaraan Piala Malaysia kali ke-33 setelah kali terakhir menjulang piala itu pada 2005.

Ketua jurulatih Selangor K. Devan berkata, walaupun hanya perlawanan persahabatan, jika Selangor mampu mengekalkan prestasi itu, peluang untuk merangkul Piala Malaysia agak cerah.

“Ini satu kemenangan moral kepada pasukan dan diharap akan turut meningkatkan keyakinan pemain dalam kempen Piala Malaysia nanti,” katanya selepas perlawanan.

Mengulas lanjut mengenai perlawanan itu, Devan berkata, walaupun hanya perlawanan persahabatan namun pemain Selangor begitu serius dalam aksi mereka.

“Menentang pasukan kebangsaan, pemain Selangor perlu menampilkan satu persembahan pada satu tahap yang lebih baik untuk memberi saingan, kemenangan ini adalah hasilnya,” katanya.

Beliau turut memuji aksi yang dipamerkan bekas pemain pertahanan kebangsaan, Mohd. Nasriq Baharom yang walaupun kurang cergas menampilkan aksi yang menarik.

“Sebelum ini saya hanya ada Mohd Amirul Hadi, dengan kembalinya Nasriq dalam pasukan Red Giants kini memberi peluang kepada saya untuk membuat pilihan antara mereka berdua,” katanya.

Pada saingan Piala Malaysia Selangor diletakkan dalam kumpulan D bersama T-Team, Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kehadiran tiga pemain pinjaman untuk aksi Piala Malaysia iaitu Haziq Zikri Elia (Harimau Muda A), Muhd Nazri Ahmad (Harimau Muda A) dan G. Jeevananthan (USM) akan memberi lebih pilihan dan ramuan tambahan kepada Devan dalam misi memburu kejuaraan Piala Malaysia 2011.

Pada kempen Piala Malaysia tahun lepas, Selangor terkandas pada suku akhir apabila kalah dengan agregat 3-0 kepada Kelantan, yang kemudiannya muncul juara.

Saingan Piala Malaysia 2011 akan bermula pada 6 September ini dan perlawanan akhir dijadual 26 Oktober ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...