Tuesday, August 16, 2011

Kim Swee uji skuad utama


PERTEMUAN dengan kelab Liga Satu Slovakia, MFK Dolny Kubin hari ini cukup penting buat jurulatih skuad bola sepak Olimpik negara, Ong Kim Swee untuk mendapatkan bayangan awal kesebelasan utama yang bakal menggalas tugasan mencabar menentang Jepun dalam pusingan ketiga kelayakan Sukan Olimpik London bulan depan.

Selepas menyaksikan anak buahnya tersungkur buat kali pertama dalam empat perlawanan persahabatan setakat ini kepada Budapest Honved FC 4-1 minggu lalu, pengendali negara itu menuntut semua pemain agar bangkit memperkemaskan permainan.

“Dalam perlawanan dengan Honved FC sebelum ini saya menggunakan dua pasukan berbeza pada setiap babak tapi kali ini saya akan cuba menguji kesebelasan utama yang dijangka akan beraksi menentang Jepun nanti. “Sudah pasti saya mahu pemain beraksi lebih baik kali ini kerana saya tidak berpuas hati dengan prestasi mereka terutama pada separuh masa pertama ketika menentang Honved FC,” katanya yang dihubungi Arena Metro di Slovakia semalam.


Sepanjang berada di Vion Slovakia sejak penghujung bulan lalu, skuad Olimpik negara berjaya mencatat kemenangan ke atas kelab Liga Slovakia, Bodva Moldava 1-0, Topvar Topolcany (2-1) dan Tatron Liptovsky Mikulas (2-1) sebelum tumpas kepada Honved FC.

Perkhabaran gembira diterima Kim Swee menjelang perlawanan menentang Dolny Kubin di arena lawan apabila tonggak utama bahagian tengah, Gary Steven Robbart dan Irfan Fazail yang dilanda kecederaan sebelum ini kini kembali pulih.

Malah beliau juga tidak berdepan masalah untuk menurunkan pemain skuad kebangsaan, kapten Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Mohd Fadhli Shas, Mohd Muslim Ahmad, K Gurusamy, Izzaq Faris Ramlan dan Ahmad Fakri Saarani.



Dalam pada itu, Kim Swee turut memberi peringatan kepada semua pemain supaya tidak cepat berpuas hati dengan kedudukan mereka dalam skuad ketika ini kerana beliau tidak teragak-agak untuk menggugurkan pemain daripada skuad.

“Saya memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi kerana saya perlu bersikap adil. Jadi mereka perlu mengambil kesempatan ini untuk membuktikan betapa mereka layak untuk berada dalam skuad Olimpik,” kata Kim Swee.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...