Friday, August 26, 2011

KLFA lunas tunggakan


PEMAIN bola sepak warga kota kini boleh menarik nafas lega apabila Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) akan membayar gaji tertunggak sejak pertengahan Mei lalu.

Berita gembira itu disahkan Presiden Datuk Astaman Abdul Aziz yang menjelaskan bayaran gaji tertunggak itu adalah bagi Mei, Jun dan Julai.

“Kami akan mengadakan satu majlis hari ini bagi tujuan terbabit yang bakal disempurnakan Penaung KLFA, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar,” katanya ketika dihubungi semalam.


Menurutnya, bayaran gaji tertunggak terbabit adalah wang penajaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berjumlah RM350,000.

“Baki sebulan gaji lagi (Ogos) akan dibayar selepas sambutan Aidilfitri. Pihak kami sudah mengadakan perbincangan dengan pihak penaja bagi tujuan itu dan pemain tidak perlu bimbang berhubung baki gaji terbabit,” katanya.

Pembayaran gaji tertunggak terbabit pastinya membakar semangat pemain Kuala Lumpur yang bakal memulakan saingan dalam Piala Malaysia bermula 6 September ini.



Kuala Lumpur, antara juara Piala Malaysia sebelum ini, diundi dalam Kumpulan D bersama juara 32 kali, Selangor selain T-Team dan PDRM.

Skuad kendalian Mohd Razip Ismail itu menamatkan saingan Liga Super di tempat ke-12 hasil komitmen tinggi pemain, sekali gus mengelakkan mereka berada dalam kedudukan dua pasukan tercorot dan tersingkir ke Liga Perdana musim depan, selain mara sehingga suku akhir saingan Piala FA.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...