Saturday, August 27, 2011

Nasib skuad Kuala Lumpur diketahui awal November


KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL), Datuk Astaman Aziz menganggarkan antara akhir Oktober hingga awal November untuk memastikan sama ada skuad Helang Kota mampu kekal menyertai Liga Malaysia atau sebaliknya pada musim depan.

Katanya, ia banyak bergantung kepada penyusunan penajaan jangka panjang yang bukan sahaja bagi membiayai skuad Liga M bahkan berkaitan penubuhan sebuah akademi bola sepak bersama kelab gergasi Liga Perdana England (EPL), Liverpool.

"Kuala Lumpur memerlukan peruntukan sekurang-kurangnya RM3 juta semusim liga tetapi DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang banyak membantu kami sekarang, perlu memberikan keutamaan kepada hal lain.

"Jadi jika kami dapat menyelesaikan urusan penajaan itu antara akhir Oktober hingga awal November, mungkin Kuala Lumpur boleh terus bermain dalam liga," katanya selepas majlis penyerahan sumbangan DBKL kepada pasukan Liga M, pengadil dan pemenang Liga PBKL, semalam.

Cek bernilai RM350,000 sebagai sumbangan daripada geran tahunan DBKL itu disampaikan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.

Mengenai penubuhan akademi dengan Liverpool, ia merupakan yang pertama seumpamanya dilakukan kelab EPL itu di luar negara dan kata Astaman, ia dijangka mula beroperasi pada Januari 2012 dan mampu meneruskan tradisi Kuala Lumpur sebagai penjana bakat baru bola sepak negara.

Berhubung soal padang stadium berkenaan yang rosak teruk sehingga memaksa Kuala Lumpur menjadikan Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebagai gelanggang tuan rumah Piala Malaysia, 6 September ini kata Astaman, ia bakal dapat diperbaiki dalam tempoh sebulan.

"Kami berharap DBKL dapat menyiapkannya sebelum musim baru Liga Malaysia tetapi menyedari penyelenggaraan rumput padang Bermuda agak sukar berbanding jika ia daripada jenis Cowgrass.

"Ia rosak kerana pelapik lambat dibuka selepas digunakan bagi Sukan Malaysia dan World Marching Band, beberapa bulan lalu yang diadakan secara berturut-turut sehingga rumput mati dan diserang serangga perosak," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...