Friday, August 26, 2011

‘Pelawaan sukar ditolak’


TAWARAN menarik Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K Rajagobal, Oktober ini, sememangnya sukar ditolak, namun apa yang mencetuskan sedikit masalah apabila tarikh itu bertembung dengan jadual perlawanan Piala Malaysia.

Mengikut undangan FFA kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu lalu, perlawanan persahabatan itu dijadual berlangsung di Sydney, Australia pada 7 Oktober ini, sedangkan perlawanan kedua suku akhir Piala Malaysia diadakan sehari selepas itu.

Perkara ini akan dibincangkan Exco FAM dengan teliti terlebih dulu biarpun pada dasarnya skuad kebangsaan menjadi keutamaan badan induk bola sepak tanah air itu.


Penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha (gambar) berharap FAM menerima pelawaan skuad Socceroos itu yang dianggap peluang terbaik dan tidak mudah diperoleh.

“Pada saya FAM sepatutnya terima jemputan itu (perlawanan menentang Australia) walaupun kempen Piala Malaysia hangat berlangsung ketika itu. Kita ketepikan saingan Piala Malaysia kerana bukan senang, malah tak pernah dapatpun sebelum ini,” katanya.

Kempen Piala Malaysia musim ini yang membabitkan 16 pasukan akan memulakan saingan pada 6 September ini. Dua pasukan terbaik daripada empat kumpulan akan meneruskan cabaran suku akhir pada 4 dan 8 Oktober manakala separuh akhir pula akan berlangsung pada 14 dan 22 Oktober. Kemuncak kejohanan itu akan diadakan pada 29 Oktober.



Norshahrul, penyerang Kelantan yang turut dikenali dengan panggilan Mat Yo tidak dapat menyembunyikan keinginan besar untuk kembali beraksi bersama Harimau Malaya jika perlawanan menentang skuad Piala Dunia Australia kendalian Holger Osieck itu menjadi kenyataan.

“Kalau diberi peluang memang saya nak sangat bermain dalam perlawanan itu tapi apapun saya kena rebut semula tempat dalam skuad kebangsaan terlebih dulu,” katanya yang terpaksa diketepikan dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 sebelum ini akibat kecederaan hamstring.


Skuad juara Asia Tenggara kendalian Rajagobal berdepan kesukaran mendapatkan perlawanan kompetitif sebagai persiapan membentuk skuad mantap bagi mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun depan dan juga kempen kelayakan Piala Asia 2015 selepas gagal mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia kepada Singapura Julai lalu.

Namun Naib Presiden FAM, Datuk Subahan Kamal yang juga pengurus pasukan kebangsaan sewaktu memaklumkan jemputan FFA semalam berkata, perlawanan dengan naib juara Piala Asia 2011, Australia adalah satu penghormatan dan pendedahan terbaik buat pemain Harimau Malaya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...