Monday, August 29, 2011

PKNS intai dua tempat teratas Kumpulan B


BERGELAR juara Liga Perdana, Selangor PKNS mengidamkan satu daripada dua tempat teratas Kumpulan B untuk menepati sasaran layak ke suku akhir walaupun sedar laluan berliku menanti mereka.

Sekiranya mahu merealisasikan impian terbabit, Selangor PKNS perlu mengetepikan salah satu pasukan pilihan iaitu juara Piala FA musim ini, Terengganu atau finalis Piala Malaysia musim lalu, Negeri Sembilan dengan satu lagi pasukan kelab, Sime Darby dijangka menjadi pelengkap.

“Saya akui memang laluan sukar menanti terutamanya Terengganu dan Negeri Sembilan yang membariskan pemain berpengalaman serta menyarung jersi kebangsaan. Malah kedua-dua pasukan beraksi dan bersaing hebat dalam di Liga Super.


“Kami pula sebuah pasukan kerdil. Tiada seorangpun yang bermain untuk skuad kebangsaan, namun tentangan sengit tetap akan diberikan kerana pengalaman beraksi untuk kali pertama pada Piala Malaysia tahun lalu memberikan sedikit pengajaran berguna kali ini,” kata pengendalinya, Abdul Rahman Ibrahim.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, beberapa perlawanan diatur sepanjang bulan ini juga dapat memantapkan lagi kombinasi di kalangan pemain yang berjaya membawa kelab itu muncul sebagai juara Liga Perdana selepas lapan tahun mencuba.

“Saya mahukan pemain sudah mencapai tahap tertinggi apabila saingan bermula pada 6 September ini. Malah kami tidak meminjam pemain dari pasukan lain kerana percaya dengan kemampuan pemain sedia ada,” katanya.



Selangor PKNS membuka tirai saingan dengan melayan kunjungan Negeri Sembilan (6 September), Terengganu (10 September) diikuti sebuah lagi kelab di Lembah Klang, Sime Darby tiga hari selepas itu bagi melengkapkan pusingan pertama peringkat kumpulan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...