Friday, August 26, 2011

QPR nilai pemain kita


KUALA LUMPUR – Pemilik Queens Park Rangers (QPR), Tan Sri Tony Fernandes telah menyerahkan video aksi beberapa pemain Malaysia kepada pengurus pasukan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu, Neil Warnock bagi menilai kemampuan mereka.

Fernandes berkata, beliau sendiri berjumpa dengan Warnock bagi menyerahkan video tersebut dan berharap beberapa pemain negara akan dipanggil untuk menjalani latihan bersama QPR.

“Bagaimanapun, ramai sedia maklum bahawa pasukan bola sepak Malaysia tidak berada pada kedudukan 70 teratas dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang merupakan syarat untuk beraksi dalam EPL.

“Hal ini sekali gus menyukarkan pemain mendapatkan permit kerja untuk beraksi di sana. Apa pun, kami berharap ada pemain Malaysia akan dipanggil untuk menjalani latihan bersama QPR,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran AirAsia bersama media dan anak yatim, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Sebelum ini, kelab itu menyatakan kesediaan memberi peluang kepada pemain negara, Safee Sali dan Khairul Fahmi Che Mat (Apek) untuk mengikuti latihan bersama kelab itu.

Berdasarkan kedudukan terbaru yang dikeluarkan oleh FIFA semalam, Malaysia berada pada tempat ke-146.

Kata Fernandes, Malaysia mempunyai ramai pemain berbakat tetapi kurang mendapat pendedahan terhadap corak permainan tahap terbaik.

Beliau yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd. berharap pembelian kelab EPL itu akan membantu pembangunan bola sepak negara.

Mengulas mengenai QPR mengharungi cabaran musim ini, Fernandes berkata, kelab itu sedang mencari beberapa pemain baru sebelum tamatnya tempoh perpindahan pemain pada 31 Ogos ini.

“Kami tidak keberatan untuk berbelanja bagi mendapatkan pemain yang baik,” katanya.
Fernandes berkata, beliau memberi kebebasan penuh kepada Warnock dalam menguruskan pasukan itu dan tidak mahu mencampuri aspek teknikal selain membiarkan ia diuruskan oleh individu yang berkelayakan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...