Monday, August 8, 2011

Rajagobal pantau Piala Malaysia


JURULATIH kebangsaan, Datuk K. Rajagobal akan menjadikan kempen Piala Malaysia bermula 6 September hingga 29 Oktober depan untuk memantau kelibat para pemain baharu yang berpotensi untuk dipanggil memperkuat skuad Harimau Malaya.
Terdahulu, skuad bimbingan Rajagobal tewas 0-1 kepada skuad Liga Super Selangor pada aksi persahabatan yang berlangsung di Stadium Shah Alam malam kelmarin menerusi jaringan tunggal Rudie Ramli pada minit ke-64.
“Saya akan lihat prestasi para pemain sepanjang Piala Malaysia nanti. Saya akan panggil pemain yang menyinar untuk memperkuatkan lagi pasukan ini menjelang persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2012 dan Kelayakan Piala Asia 2015.
“Saya rasa ia mungkin perlu selepas melihat prestasi pasukan pada perlawanan ini yang nampak sedikit berbeza selepas ketiadaan tujuh pemain yang menyertai latihan skuad Olimpik,” kata Rajagobal selepas perlawanan malam kelmarin.
Tujuh pemain kebangsaan iaitu penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat, Mahali Jasuli, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, K. Gurusamy, Ahmad Fakri Saarani dan Izzaq Faris Ramlan telah berlepas ke Slovakia, Rabu lalu.
Berikutan itu, Rajagobal menguji beberapa pemain dalam kesebelasan utama malam kelmarin seperti Farizal Marlias, Helmi Remeli, Rizal Fahmi Rosid, Norhafiz Zamani Misbah, Shakir Shaari dan Baddrol Bakhtiar.
Turut diuji pada separuh masa kedua ialah Shahrom Kalam, Faizal Muhamad, Joseph Kalang Tie, Farisham Ismail, Khyril Muhymeen Zambri dan penjaga gol, Norazlan Razali.
“Kita sudah dapat lihat tahap permainan Norhafiz Zamani yang saya rasa dia perlu diberi peluang lagi untuk mempertingkatkannya. Begitu juga dengan Khyril Muhymeen yang sudah lama tidak bersama kita.
“Nasriq Baharom yang beraksi untuk Selangor juga telah mempamerkan persembahan baik dan dia juga saya ketepikannya sebelum ini akibat masalah kecederaan. Kita tengoklah nanti bagaimana perkembangannya,” jelas Rajagobal.
Sebelum menutup kem latihan selama 12 hari yang bermula Rabu lalu pada Ahad ini, Rajagobal sedang berusaha untuk mendapat satu lagi aksi persahabatan untuk menguji barisan pelatih skuad kebangsaan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...