Saturday, August 13, 2011

Rajagobal tutup kem latihan


KEM latihan pusat skuad bola sepak kebangsaan selama 10 hari bermula 3 Ogos berakhir hari ini.Sepanjang kem tersebut, hanya satu perlawanan ujian sahaja sempat diharungi skuad negara ketika menentang Selangor pada 6 Ogos lalu berikutan pembatalan dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Oman dan Indonesia.
Namun jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tidak menganggap kem latihan sempena bulan Ramadan ini satu kegagalan akibat ketiadaan perlawanan persahabatan antarabangsa.
"Memang sepatutnya kita bertemu Selangor tempoh hari sebagai persediaan untuk menentang Oman pada 10 Ogos (kelmarin) tetapi perlawanan itu dibatalkan. Begitu juga perlawanan menentang Indonesia.
"Walaupun tiada perlawanan persahabatan antarabangsa, saya fikir bahawa kesempatan selama 10 hari ini dapatlah untuk saya melihat perkembangan pemain-pemain baru yang dipanggil sepanjang sesi latihan.
"Apabila kita tak dapat satu perlawanan yang berkualiti, lebih baik kita tumpukan perhatian kepada sesi latihan pusat ini," kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Untuk kem latihan kali ini, Rajagobal telah memanggil beberapa muka lama yang diketepikan sebelum ini akibat kecederaan seperti Farizal Marlias, Khyril Muhymeen Zambri, Norhafiz Zamani Misbah dan Faizal Muhamad.
Manakala beberapa pemain baru turut diberi kesempatan untuk dinilai prestasi mereka seperti Joseph Kalang Tie, Shahrom Kalam dan penjaga gol, Norazlan Razali.
Rajagobal turut membayangkan bahawa kem latihan skuad kebangsaan akan kembali bersambung pada November depan selepas tamat saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung dari 6 September hingga 29 Oktober depan.
"Buat masa ini tiada aksi persahabatan untuk Oktober tetapi mungkin jika ada pasukan yang layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014 yang ajak lawan, kita akan pertimbangkan.
"Jika tidak, kem latihan dan aksi persahabatan hanya akan bersambung pada November depan untuk kita buat persiapan serius menghadapi Piala Suzuki AFF 2012 dan Kelayakan Piala Asia 2013," jelas Rajagobal.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...