Wednesday, August 24, 2011

Red Warriors merah padam

PSK naik kadar sewa Stadium Sultan Muhammad seratus peratus 

KETIKA Kelantan sibuk membuat persiapan menghadapi saingan Piala Malaysia bermula 6 September ini, skuad The Red Warriors dikejutkan dengan kadar baru sewa bagi penggunaan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu yang jumlahnya meningkat hampir 100 peratus iaitu daripada RM650 kepada RM1,200 berkuatkuasa 3 Ogos lalu. 

Cadangan menaikkan kadar sewa baru itu diputuskan Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) dalam mesyuarat Ahli Majlis 3 Ogos lalu dan surat makluman mengenai perkara itu difaksimilikan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada 11 Ogos lalu.

Naib Presiden KAFA, Rosmadi Ismail menganggap jumlah kadar sewa baru yang dikenakan itu wajar dikaji semula oleh PSK kerana ia menambah beban kewangan kepada persatuan bola sepak negeri.
“Saya terkejut dengan kadar baru sewa penggunaan padang dan lampu limpah bagi sesi latihan dan perlawanan pada waktu malam di stadium itu sebanyak RM1,200 yang dikenakan PSK sekarang berbanding RM650 sebelum ini kepada KAFA. 

“Saya harap PSK dapat mempertimbangkan semula kadar baru kerana ia dianggap membebankan kewangan persatuan itu, terutama ketika tumpuan perbelanjaan lebih perlu digunakan untuk persiapan pasukan The Red Warriors menghadapi saingan Piala Malaysia bermula 6 September ini,” katanya di Kota Bharu, semalam. 

Rosmadi berkata, berdasarkan kandungan surat itu, Ahli Majlis PSK membuat keputusan menaikkan kadar baru sewa bagi penggunaan padang dan lampu limpah di stadium berkenaan. 

Sementara itu, Setiausaha PSK, Azi Rahimee Mohamed ketika ditemui mengakui memang ada keputusan dibuat Ahli Majlis PSK mencadangkan kenaikan kadar baru sewa kerana menganggapnya ia sudah lama tidak dinaikkan. 


Mengambil kira kos bayaran elektrik dan peningkatan kemudahan prasarana di stadium, beliau berkata, kenaikan kadar baru sewa itu diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis PSK yang turut dihadiri wakil dari KAFA tetapi tidak ada bantahan diterima daripada persatuan itu. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...