Thursday, August 11, 2011

Rekod lebur


KESEBELASAN utama skuad Olimpik negara yang tewas 1-4 kepada kelab Divisyen Satu Hungary, Budapest Honved pada aksi persahabatan kelmarin.
REKOD cemerlang skuad bola sepak Olimpik negara di Slovakia lebur.Meskipun diperkuatkan dengan enam ‘otai’ dalam aksi persahabatan keempat tersebut, ia tidak dapat membantu skuad bimbingan Ong Kim Swee itu mengekalkan rentak kemenangan.
Enam ‘otai’ itu baru menyertai skuad di Slovakia selepas selesai tugas dengan skuad Harimau Malaya pada kempen kelayakan Piala Dunia 2014.
Pada aksi keempat kelmarin, skuad Olimpik tewas 1-4 kepada kelab Divisyen Satu Hungary, Budapest Honved.
Kekalahan itu pastinya menjadi pengajaran berguna buat pemain muda setelah cemerlang menewaskan tiga kelab Slovakia sebelum ini, Bodva Moldava 1-0, Topvar Topolcany 2-1 dan Liptovsky Mikulas 2-1.
Bagi jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee, kekalahan sulung pada siri aksi persahabatan dan latihan selama sebulan di Slovakia itu seharusnya dijadikan pengajaran kepada pemain tertentu.
“Kecuaian di barisan pertahanan dan hilang konsentrasi menyebabkan kita dibolosi dengan mudah. Sikap ambil mudah sesetengah pemain menyebabkan kita menerima padah.
“Pada separuh masa kedua barulah permainan lebih teratur terutama dengan kemasukan Shukor Jusoh, Nazmi Faiz Mansor dan Ahmad Fakri Saarani.
“Secara keseluruhan, kita mampu bersaing jika semua pemain menunjukkan sikap yang serius, terutamanya pada babak pertama,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Slovakia semalam.
Honved mendahului 3-0 pada babak pertama menerusi sepakan penalti Ivancsies Gelleri minit ke-9, gol sendiri Mahali Jasuli (31) dan Lukas Zelenka (45).
Wan Zack Haikal Wan Nor menjaringkan gol tunggal skuad negara pada minit ke-54 sebelum Honved meledak gol keempat menerusi Cirino Danies (61).
Biarpun mempertaruhkan enam pemain kebangsaan dalam kesebelasan utama, Kim Swee tidak dapat menurunkan dua tonggak utamanya, Gary Steven Robbat dan Irfan Fazail akibat kecederaan.
“Tiga lagi perlawanan selepas ini akan saya pergunakan untuk menilai strategi serta kesungguhan dan keinginan beberapa pemain sebelum membuat penentuan kesebelasan menentang Jepun (21 September).
”Masa agak singkat walaupun kita mempunyai masa sebulan lebih lagi yang mana saya mahu menumpukan kepada strategi dan bukan lagi individu,” jelas Kim Swee.
Dalam misi seterusnya, skuad Olimpik negara akan menentang tiga lagi kelab Liga 1 Slovakia iaitu Dolny Kubin (16 Ogos), Nitra (23 Ogos) dan Levice (26 Ogos).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...