Wednesday, August 10, 2011

Safee sokong Rajagobal


KETIKA ada suara-suara yang mendesak kedudukan ketua jurulatih kebangsaan, Datuk K Rajagobal dikaji semula berikutan kekalahan di tangan musuh tradisi Singapura pada pusingan kedua Piala Dunia 2014 tempoh hari, penyerang sensasi Mohd Safee Sali pula menegaskan pengendali negara itu adalah individu terbaik untuk terus memimpin skuad Harimau Malaya.
Katanya, semua pemain masih menaruh kepercayaan penuh terhadap kemampuan Rajagobal malah akan terus berdiri teguh di belakangnya.

“Rajagobal adalah jurulatih terbaik negara, jangan kerana kalah kita terus nak salahkan dia, pada saya ini sesuatu yang tidak baik untuk pasukan. “Semua pemain masih percaya dengan kemampuan dan falsafah bola sepak Rajagobal dalam membimbing skuad kebangsaan. Bagi saya, saya akan terus menyokong 100 peratus dan berdiri di belakang selagi beliau bersama pasukan kebangsaan,” kata Safee.


Pelbagai pihak tidak kurang juga mengecam Rajagobal kerana kegagalannya membawa skuad kebangsaan mara ke pusingan ketiga saingan peringkat kumpulan Piala Dunia 2014.

Malah kegagalan itu tambah sukar diterima peminat tempatan kerana Malaysia tumpas kepada pasukan jiran, Singapura menerusi agregat 6-4 sedangkan skuad Harimau Malaya gah dengan status juara Sukan Sea Laos 2009 dan Piala Suzuki AFF Disember lalu.

Menurut Safee, 27, sememangnya luka kekalahan itu masih belum pulih sepenuhnya namun mereka sedar perlu bangkit semula dalam satu pasukan kerana masih mempunyai misi besar mempertahankan Piala Suzuki AFF tahun depan serta kelayakan Piala Asia 2015.



“Memang pemain masih terluka dengan kekalahan itu sehingga sekarang tapi kami semua perlu pandang ke depan dan bersedia untuk menggalas cabaran lain pula.

“Kekalahan adalah sebahagian daripada permainan, kita kena hadapi. Semoga apa yang dilalui ini akan menjadikan pasukan kebangsaan lebih baik lagi,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...