Saturday, August 27, 2011

Safiq uji nasib


Mohd Safiq Rahim
KAPTEN skuad Harimau Malaya, Mohd Safiq Rahim bersedia untuk menguji nasib bersama Cardiff City apabila ditawar menjalani pemilihan bersama kelab Liga Kejuaraan itu selepas tamat kempen Piala Malaysia hujung Oktober ini.

Peluang itu hadir selepas pengerusi kelab The Bluebirds itu yang juga ahli perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee mengadakan perbincangan dengan Safiq semalam.

“Memang betul saya ditawarkan tempat untuk menjalani ujian pemilihan bersama Cardiff City. Saya sudah menyerahkan semua dokumen peribadi untuk urusan itu dan perbincangan lanjut akan diadakan selepas hari raya, minggu depan.


“Saya gembira dengan tawaran yang diberikan ini walaupun ia hanya ujian pemilihan. “Tawaran yang diberikan kelab ini juga membuktikan betapa aksi pemain tempatan juga sudah dipantau kelab luar.

“Saya berjanji akan memberikan yang terbaik, InsyaAllah saya harap akan berjaya di sana,” kata pemain tengah skuad Liga Super, Selangor itu.

Usaha pemain berusia 24 tahun itu nampak lebih realistik memandangkan syarat untuk bermain dalam Liga Kejuaraan itu tidak begitu ketat berbanding beraksi di Liga Perdana Inggeris.


Menurut Safiq yang mengetuai skuad Harimau Malaya menjuarai Piala Suzuki AFF Disember lalu, jika pemilihan itu berjaya, dia akan ditawarkan kontrak oleh Cardiff City.

“Berdasarkan penerangan yang diberikan kepada saya, tak ada masalah untuk saya beraksi dalam divisyen satu (Liga Kejuaraan) berbanding Liga Perdana Inggeris yang mengenakan syarat hanya pemain dari negara ranking dunia 70 ke bawah dan memiliki sekurang-kurangnya 75 cap bersama skuad senior kebangsaan.


“Saya akan menjalani ujian pemilihan selama tiga minggu dan jika mereka berpuas hati dengan prestasi saya, mereka akan menawarkan kontrak ketika musim perpindahan pemain Januari tahun depan,” kata Safiq yang turut menyatakan kemungkinan penyerang, Mohd Safee Sali turut mengikut jejak langkahnya.

Selain dianggap pemain berpengaruh di bahagian tengah, Safiq juga cukup terkenal sebagai pakar sepakan percuma. Antara gol menarik yang pasti dikenang penyokong Harimau Malaya adalah ketika dia menjaringkan gol menentang Liverpool pada perlawanan persahabatan Julai lalu.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...