Monday, August 29, 2011

Sathia timbang hijrah ke seberang


KOTA BHARU - Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Bola Sepak Al-Hambra Red Warrior (ARMY) yang juga bekas ketua jurulatih Kelantan, B. Sathianthan mengakui beliau kini bersedia untuk ‘kembali’ selepas bebas daripada penggantungan selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebulan lalu.

Sathianathan ketika ditemui berkata, dia sedang menimbang beberapa tawaran sebagai jurulatih dari beberapa pasukan Liga Malaysia termasuk tawaran dari luar negara iaitu Indonesia dan Myanmar.

Katanya, beliau sedang memperhalusi setiap tawaran tersebut sebelum membuat sebarang keputusan.

“Memang saya ada menerima tawaran daripada kelab di Indonesia dan Myanmar dan ejen saya sedang berunding sekarang. Saya juga ada dihubungi oleh beberapa pegawai pasukan bola sepak tempatan mengenai tawaran ini namun belum memberikan kata putus.

“Sebagai jurulatih sudah pasti saya ingin kembali ke padang. Saya bukan jenis seorang yang suka duduk diam. Saya sudah menerima padahnya digantung selama enam bulan dan berharap ia menjadi satu pengajaran berguna kepada diri saya sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, semalam.

Bekas jurulatih kebangsaan itu digantung FAM selama enam bulan bermula 24 Januari sehingga 23 Julai gara-gara kritikan pedas terhadap tindakan badan induk bola sepak tempatan itu mengubah venue perlawanan Liga Super antara Perlis menentang Terengganu tahun lalu.

Akibatnya, penyandang juara Piala Malaysia, The Red Warriors terpaksa melupakan khidmat Sathianathan untuk saingan musim ini dan menggantikannya dengan bekas penggendali Perak, Datuk M. Karathu.

Sathianathan memberitahu, sebelum membuat sebarang keputusan, beliau terlebih dahulu akan merujuk perkara tersebut kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa bagi mendapatkan pandangan.

“Saya sudah maklumkan kepada beliau mengenai tawaran ini. Kalau saya hendak menandatangani tawaran sekalipun saya perlu minta izin daripada beliau,” ujarnya.

Ditanya mengenai kesediaannya untuk mengembangkan kerjaya di luar negara, Sathianathan turut mengakui teruja untuk berbuat demikian, namun ia perlu dinilai daripada pelbagai sudut.
Mengulas mengenai peluang Kelantan dalam kempen Piala Malaysia ini, Sathianathan optimis Kelantan mampu mempertahankan kejuaraan.

“Sekarang saya lihat Kelantan merupakan satu pasukan yang cukup kuat. Kita sudah ada asas yang kukuh dalam pembentukan pasukan. Saya yakin kita akan memenangi Piala Malaysia sekali lagi pada tahun ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...