Saturday, August 6, 2011

Selangor idam kejutan


BARISAN pemain Harimau Malaya perlu memberikan aksi terbaik dan tidak seharusnya memandang mudah aksi persahabatan menentang Selangor di Stadium Shah Alam malam ini.
Ingatan itu disuarakan jurulatih Selangor, K Devan yang menjelaskan anak-anak buahnya akan bekerja keras sepanjang perlawanan untuk menentang barisan kendalian Datuk K Rajagobal itu.

“Jika berjaya mengejutkan skuad negara, ia petanda yang baik. Apa yang penting kami tidak boleh membiarkan lawan menguasai perlawanan dan menjaringkan gol.


“Namun saya juga mempunyai tiga misi tersendiri untuk perlawanan malam ini iaitu mencuba pemain yang baru dibawa masuk, mencuba kombinasi baru di bahagian tengah dan pertahanan serta menguji kecergasan pemain,” katanya ketika ditemui selepas majlis undian Piala Malaysia 2011 semalam.

Devan bagaimanapun mengakui kemenangan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai kerana skuad Rajagobal pastinya mahu mengekalkan mentaliti dan mempamerkan persembahan yang terbaik.

Sementara itu Selangor yang sekadar mara ke suku akhir Piala Malaysia untuk dua musim berturut-turut sebelum ini diundi bersama-sama T-Team, Kuala Lumpur dan PDRM dalam Kumpulan D dengan Devan melihat semua pasukan mempunyai prospek yang baik untuk mara ke pusingan seterusnya.



“Kami akan mengadakan sekurang-kurangnya tujuh perlawanan persahabatan bermula malam ini menentang skuad negara .

“Semua pemain kecuali Khairul Anuar Baharom yang mengalami kecederaan, kini giat menjalani latihan. Mereka kini bersemangat untuk memenangi trofi terakhir untuk Selangor dan membuktikan kemampuan diri sendiri,” katanya.

Kali terakhir Selangor menjulang Piala Malaysia adalah pada 2005 dan Merah Kuning kini terdesak untuk meraih kejuaraan terakhir siangan Liga M 2011 ini selepas gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala Sultan Ahmad Shah selain terlepas Piala FA.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...