Tuesday, August 23, 2011

Selangor kembali garang


PERSATUAN Bola Sepak Selangor (FAS) boleh menarik nafas lega apabila barisan pemain skuad Merah Kuning itu mempamerkan sesuatu yang positif dalam misi mereka memburu Piala Malaysia buat kali ke-33 pada tahun ini.

Skuad kendalian K Devan itu bangkit mencatatkan kemenangan 3-1 ketika menentang Johor FC menerusi jaringan trio pemain kebangsaan Selangor - Mohd Safiq Rahim, Mohd Amirulhadi Zainal dan Mohd Asraruddin Putra Omar - pada aksi persahabatan Sabtu lalu selepas tewas tipis 1-0 kepada juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan, sebelum itu.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata kebangkitan itu adalah sesuatu yang memang diharapkan, namun masih ada beberapa perkara perlu diperkemaskan sebelum Selangor memulakan saingan menentang T-Team, Kuala Lumpur dan PDRM dalam merebut dua tempat teratas kumpulan D untuk ke suku akhir. “Kami masih ada dua lagi perlawanan persahabatan selepas ini untuk membaiki kelemahan dan saya berharap semua pemain dapat mencapai prestasi kemuncak ketika aksi sebenar berlangsung bermula 6 September ini,” katanya yang juga pengurus pasukan untuk saingan Piala Malaysia kali ini.


Malah menurut Hamidin, cakap-cakap mengenai ketumpulan jentera serangan juga tidak perlu menjadi kegusaran kerana Selangor memiliki barisan pemain tengah yang berkaliber serta mampu meledak gol.

“Dalam pertandingan seperti ini, jumlah jaringan yang besar tidak penting. Jika kami sudah menjaringkan satu gol dan mencatatkan kemenangan ia sudah mencukupi terutamanya apabila pertandingan memasuki fasa kalah mati,” katanya.

Piala Malaysia adalah kejuaraan terakhir yang menjadi harapan FAS bagi memastikan mereka tidak menamatkan musim ini dengan tangan kosong selepas gagal mempertahankan dua piala selain tersekat di separuh akhir Piala FA.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...