Saturday, August 13, 2011

Selangor uji Red Warriors


IBARAT meneruskan persengketaan dalam kancah bola sepak tempatan, Selangor dan Kelantan akan mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu ini sebagai sebahagian daripada rangka persiapan untuk menghadapi saingan Piala Malaysia.

Skuad Merah Kuning jelas mencari kemenangan moral untuk menyuntik semangat bagi memburu piala berprestij yang terakhir ditawarkan musim ini.

Hakikat itu diakui sendiri jurulatihnya, K Devan yang sudah mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dalam aksi persahabatan sebelum ini menentang Harimau Malaya dan ATM dengan keputusan 1-0.


“Kami memerlukan perlawanan berstatus tinggi bagi mengembalikan semangat pemain selepas gagal meraih sebarang piala yang dipertandingkan.

“Kelantan adalah antara pasukan yang mampu memberikan tentangan yang sengit kepada Selangor,” katanya yang akan menentang The Red Warriors selepas aksi perlawanan persahabatan ketiga menentang Felda United malam ini.

Musim ini, Kelantan mengecewakan Selangor apabila berjaya merampas Piala Sultan Ahmad Shah pada aksi pembuka tirai yang berterusan sehingga persaingan merebut takhta Liga Super yang menyaksikan The Red Warriors sekali lagi mengecewakan skuad Merah Kuning.



Malah The Red Warriors turut menyingkirkan Selangor pada separuh akhir Piala FA dengan agregat 6-2.

“Saya mungkin tidak dapat menurunkan barisan terkuat kerana tiga pemain Harimau Malaya -Mohd Safiq Rahim, Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Asraruddin Putra Omar - akan diberikan cuti selama beberapa hari selepas latihan skuad negara tamat semalam. Namun ia peluang saya untuk terus mencuba kombinasi baru,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...