Monday, August 22, 2011

Sharbinee pasang impian julang Penyu


SELEPAS gagal membantu skuad negara mara lebih jauh pada kelayakan Piala Dunia Zon Asia, penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee, bertekad mahu memastikan trofi Piala Malaysia menjadi milik skuad Terengganu musim ini.

Menurutnya, impian membawa pulang piala berprestij itu menjadi idamannya sejak bersama Terengganu dan berharap kejayaan mendakap trofi Piala FA menjadi suntikan semangat kepadanya dan rakan sepasukan memburu piala kedua musim ini.

“Berdasarkan prestasi semasa dan kekuatan yang ada dalam barisan Terengganu, saya percaya skuad yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim mampu melangkah lebih jauh sebagai mana yang dibuktikan dalam saingan Piala FA,” katanya.


Berdasarkan rekod, kali pertama dan terakhir Terengganu menjulang Piala Malaysia adalah pada 2001 di bawah jurulatih Mat Zan Mat Aris selepas menumpaskan Perak 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemain berasal dari Kampung Pulau Duyong Besar, Kuala Terengganu, itu berkata bagi merealisasikan matlamat itu, dia berharap rakan sepasukan berusaha bersungguh-sungguh mempamerkan aksi menarik berdepan Negeri Sembilan, Sime Darby FC dan Selangor PKNS dalam saingan kumpulan.

Menurut pemain berusia 25 tahun itu, walaupun diundi bersama dua pasukan kelab dan juara Piala Malaysia 2009, itu tidak bermakna laluan Terengganu selesa kerana semua pasukan memiliki kekuatan setanding.



“Saingan Piala Malaysia amat berbeza kerana semua 16 pasukan bertanding mempunyai kekuatan masing-masing ditambah tiga pemain pinjaman. Saya berharap barisan Terengganu mampu membuat kejutan dalam saingan yang bakal membuka tirai 6 September ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...