Saturday, August 27, 2011

Syria pegang kata putus: Azzuddin

PERTEMBUNGAN tarikh perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA pada 22 November dengan perlawanan peringkat kumpulan kelayakan Olimpik bertemu Syria (23 November) hanya akan terarah kepada dua kemungkinan – skuad Olimpik terpaksa melupakan final Sukan SEA atau Syria berkorban masa untuk memberi laluan kepada Malaysia mempertahankan pingat emas temasya Asia Tenggara itu. 

Skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee yang mempunyai dua tugasan besar tahun ini - kelayakan Olimpik dan Sukan SEA - perlu mencari penyelesaian terbaik dalam memastikan kedua-dua sasaran ditangani dengan baik.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah menghantar permohonan kepada Syria dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk menunda tarikh perlawanan dari 23 kepada 24 November, dan menurut Setiausaha Agung FAM, ada tanda-tanda positif daripada kedua-dua pihak berkenaan.
“Kita sudah maklumkan kepada AFC dan Syria mengenai perkara ini dan secara lisan saya difahamkan, Syria ada memberi petanda positif kepada AFC yang mereka akan menerima permohonan Malaysia,” kata Azzuddin selepas sidang media lawatan pasukan bola sepak Eaton College di ibu negara, semalam. 

Menurut Azzuddin, pihak AFC tiada masalah menerima permohonan Malaysia menunda tarikh perlawanan, tetapi memerlukan persetujuan Syria yang selepas bertemu Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, akan terbang ke Jepun untuk perlawanan seterusnya, 27 November. 

Sekiranya skuad Sukan SEA mara ke final dan Syria pula bersetuju menunda perlawanan ke 24 November, anak buah Kim Swee hanya mempunyai tempoh 48 jam untuk berehat dan membuat persediaan manakala Syria terpaksa mengorbankan sehari tempoh rehat mereka sebelum bertemu Jepun. 

Namun daripada latihan skuad Olimpik di Slovakia sejak akhir bulan lalu, Kim Swee tampak seperti sedang bersedia dengan kemungkinan terpaksa mewujudkan dua kumpulan pemain berbeza. 


Sepanjang latihan di sana, Kim Swee mencuba dua pasukan berbeza dalam tujuh perlawanan persahabatan dengan lima daripadanya dimenangi skuad Olimpik kebangsaan. Jika percaturannya menjadi, sasaran mengekalkan emas Sukan SEA dan mengutip mata Olimpik di Bukit Jalil, mampu menjadi kenyataan. 

Dalam pada itu, Azzuddin mengesahkan perlawanan persahabatan skuad kebangsaan kendalian Datuk K Rajagobal dengan Australia di Sydney pada 7 Oktober turut bertembung dengan tarikh perlawanan suku akhir Piala Malaysia. 

Kini terpulang kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) untuk memutuskan sama ada meneruskan jadual perlawanan tanpa pemain kebangsaan, atau sekali lagi meminda tarikh pertandingan bagi memberi laluan kepada perlawanan persahabatan antarabangsa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...