Saturday, August 27, 2011

Syria setuju tangguh


SYRIA, antara pencabar Malaysia dalam saingan peringkat Kumpulan C kelayakan Sukan Olimpik London 2012 bermurah hati untuk membantu skuad kendalian Ong Kim Swee yang tersepit dengan jadual padat apabila memberi isyarat bersedia menerima permohonan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menangguhkan perlawanan kedua-dua negara pada 23 November ini.

Menurut Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad (gambar), walaupun pihaknya masih belum mendapat keputusan secara rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Syria namun maklumat yang diterimanya secara lisan memberikan perkhabaran baik buat skuad Olimpik negara.

“Kita sudah mengutuskan surat untuk memaklumkan kedudukan sebenar skuad Olimpik negara kepada Syria dan dalam masa yang sama kita juga sudah memberitahu kepada AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).


“Secara lisan saya difahamkan Syria ada memaklumkan kepada pihak AFC mereka akan memenuhi permintaan Malaysia tapi sehingga hari ini saya belum mendapat jawapan secara hitam putih,” katanya yang ditemui pemberita selepas sidang media sempena lawatan pasukan bola sepak Eton College ke Malaysia semalam.

Turut hadir pada majlis itu, anakanda Sultan Pahang, Tengku Abdul Fahad Mu’adzam Sultan Ahmad Shah yang mewakili pasukan Eton College, England yang bakal mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan remaja Malaysia dan pasukan remaja Pahang semasa jelajah 14 hari di negara ini.

Azzuddin berkata, jika permohonan menangguhkan perlawanan Malaysia-Syria diterima secara rasmi, perlawanan itu akan ditunda sehari daripada tarikh asal pada 23 November.



Tarikh baru itu akan memberi kelegaan kepada anak buah Kim Swee yang bakal berdepan masalah jika mereka berjaya mara ke final Sukan Sea Indonesia pada 21 atau 22 November ini memandangkan peraturan Fifa menetapkan setiap pasukan tidak boleh beraksi dalam tempoh 48 jam selepas mengharungi perlawanan antarabangsa.

“Mengikut permohonan kita, perlawanan itu (Malaysia-Syria) akan ditunda pada 24 November. Jadual perlawanan peringkat kumpulan sudah diatur dan kita tak boleh memohon untuk menunda tarikh terlalu panjang kerana ia ada hubung kait dengan jadual perlawanan lain,” kata Azzuddin.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...