Wednesday, August 17, 2011

T-Team akur Perlis tak lepas Faiz


KUALA TERENGGANU - Impian T-Team untuk meminjam penyerang Perlis, Faiz Subri bagi mengharungi Piala Malaysia tidak kesampaian apabila pemain itu tidak dilepaskan oleh majikannya.

Jurulatih T-Team, Yunus Alif berkata, beliau sangat mengharapkan Faiz untuk memperkuatkan jentera serangan pasukannya.

"Kita rasa terkilan, tetapi apa boleh buat majikannya tidak melepaskan pemain itu untuk membantu kita," katanya semalam.

Yunus bagaimanapun sedikit terubat apabila dapat meminjam pemain MP Muar FC, Mohd. Fitri Omar dan KL Pos Malaysia, Mohd Jibrail Kamaron Baharin.

Beliau berharap kedua-dua pemain berkenaan dapat membantu T-Team untuk merealisasikan impian memasuki pertandingan akhir piala berprestij itu.

Sebelum kempen Piala Malaysia bermula, Yunus berkata, T-Team akan diuji dalam beberapa perlawanan persahabatan dengan Sime Darby, PKNS, Felda dan Kelantan.

Beliau berkata, perlawanan persahabatan bertujuan untuk melihat sejauh mana kemampuan pasukannya dan persefahaman pemain di semua posisi.

Yunus berkata, T-Team akan membuka tirai Piala Malaysia dengan menentang Selangor pada 6 September, diikuti Kuala Lumpur dan PDRM.

Beliau berkata, untuk menghadapi Selangor, T-Team yakin mampu mengatasinya lebih-lebih lagi T-Team bermain di gelanggang sendiri.

Yunus berkata, pemain T-Team akan diberi rehat selama lima hari untuk menyambut Aidilfitri mulai 28 Ogos sebelum kembali berlatih pada 3 September. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...