Monday, August 22, 2011

Tekad Norhafiz


PEMAIN bek, Norhafiz Zamani Misbah, mahu memastikan Negeri Sembilan tidak tercicir untuk memiliki Piala Malaysia musim ini selepas tiga piala yang menjadi rebutan sebelum ini terlepas termasuk kegagalan mempertahankan Piala FA.

Pemain berpengalaman berusia 30 tahun itu berharap rakan sepasukan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya menjulang nama pasukan dengan memiliki kejuaraan Piala Malaysia yang menjadi satu-satu trofi yang tinggal musim ini.

Katanya, prestasi Liga Super yang kurang memberangsangkan bukan halangan Negeri Sembilan bangkit mencipta kejutan.


“Saingan Piala Malaysia amat berbeza dengan Liga Super dan setiap pasukan bertanding mempunyai peluang sama rata untuk mencapai kejayaan dan begitu juga bagi kami berazam bangkit selepas gagal pada musim lalu apabila dikecewakan Kelantan.

“Kami sedar pencapaian dalam saingan liga kurang memberangsangkan dan sebab itulah kami sudah membuat persiapan lebih rapi dalam memastikan sasaran kali ini tidak lagi tersasar kerana matlamat kami adalah untuk memastikan Negeri Sembilan dapat membawa pulang sekurang-kurangnya satu piala yang kini hanya tinggal Piala Malaysia,” katanya semalam.

Norhafiz yang kini sudah pulih dari kecederaan, yakin pasukan mampu bangkit untuk mempamerkan persembahan lebih mantap sebaik saingan bermula 6 September ini.



Menurutnya, ketua jurulatih pasukan, Mohd Azraai Khor Abdullah, sudah merangka strategi tertentu untuk memastikan kekuatan pasukan lebih terserlah ketika berhadapan saingan Kumpulan B yang membabitkan juara Piala FA, Terengganu dan juara Liga Perdana, Selangor PKNS serta Sime Darby.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...