Monday, August 8, 2011

Terengganu yakin baiki pencapaian


KUALA TERENGGANU - Kegagalan melepasi peringkat suku akhir Piala Malaysia tahun lepas masih berbekas di hati pengendali skuad Penyu, Irfan Bakti Abu Salim.

Justeru, jurulatih berpengalaman kelahiran Kelantan itu bertekad mahu membantu pasukannya mara sejauh yang boleh pada saingan kali ini, yang akan bermula awal bulan depan.

"Kita akan cuba atasi keputusan tahun lepas kalah kepada Kedah pada peringkat suku akhir.

"Sebagai juara Piala FA dan naib juara Liga Super musim ini, saya percaya kita mampu mara lebih jauh dalam saingan Piala Malaysia," katanya pada sesi latihan pertama skuad itu dalam bulan Ramadan, kelmarin.

Terengganu diundi dalam Kumpulan B bersama Negeri Sembilan; juara Liga Perdana, PKNS serta pendatang baru Sime Darby FC dalam saingan Piala Malaysia 2011.

Mengulas mengenai undian tersebut, Irfan berpuas hati namun tidak akan memandang rendah kemampuan setiap lawan.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam Piala Malaysia. Namun, saya yakin kami mampu lepasi halangan peringkat kumpulan," katanya.

Menurut Irfan, skuadnya juga sedang menunggu 'lampu hijau' daripada pihak pengurusan untuk mendapatkan satu atau dua lagi pemain luar dalam usaha mengukuhkan jentera tengah untuk kempen Piala Malaysia.

"Kita hanya ambil pemain yang kita rasa betul-betul perlu dan apa yang saya lihat, kita hanya memerlukan perancang bahagian tengah,"ujar beliau.

Dalam pada itu, ketua pasukan, Marzuki Yusof berkata, dia dan rakan sepasukan akan
memanfaatkan latihan dalam bulan puasa untuk mengekalkan stamina.

"Kami akan bermain bersungguh-sungguh dan tidak akan ambil mudah setiap lawan yang bakal dihadapi dalam Piala Malaysia nanti," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...