Saturday, August 27, 2011

Tiada pemain import


BERDASARKAN situasi kewangan yang terhad, Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) tidak berhasrat mengambil dua pemain import dalam kancah Liga Malaysia musim depan seperti yang dibenarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malah penyertaan mereka dalam saingan bola sepak tempatan musim depan juga masih belum pasti dengan keputusan akhir mengenainya hanya akan diketahui selewat-lewatnya awal November ini selepas segala perbincangan mengenai penajaan musim depan selesai.

Perkara itu dinyatakan Presiden KLFA, Datuk Astaman Abdul Aziz yang membayangkan perbelanjaan untuk menguruskan pasukan terbabit tanpa menggunakan tenaga import memerlukan bajet kira-kira RM3 juta.


“Buat sementara ini, kami tidak mahu mengambil pemain import. Namun sekiranya terdapat lebihan (wang) yang didapati menerusi beberapa penaja yang di peringkat rundingan, barulah kami akan mencarinya (pemain import),” katanya.

Beliau ditemui selepas penyerahan bayaran gaji kepada pemain skuad Liga Super Kuala Lumpur yang disempurnakan Penaung KLFA, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar yang berjumlah RM350,000 bagi menyelesaikan tunggakan gaji hampir tiga bulan.

Beliau bagaimanapun menambah tumpuan pihaknya adalah mengeksport pemain seperti yang dilakukan sebelum ini dengan sejarah membuktikan Kuala Lumpur melahirkan pemain berbakat seperti penyerang Pelita Jaya FC, Mohd Safee Sali dan bekas penyerang kebangsaan, Azman Adnan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...