Saturday, August 6, 2011

Tuah cabutan buat Kelantan, Selangor

Cabaran getir tunggu Hijau Kuning dalam Kumpulan A

JUARA bertahan, Kelantan sudah terbayang satu lagi impian besar – mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Malaysia selepas melihat tuah undian memihak mereka, semalam. 

Dalam majlis undian oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Stadium Nasional, Bukit Jalil The Red Warriors diletakkan dalam Kumpulan C yang turut membabitkan Johor FC, Felda United FC dan Sarawak – senario yang memberi gambaran peluang anak didik Datuk M Karathu tampak cerah untuk muncul juara kumpulan berkenaan.

Juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor juga dilihat tidak menghadapi sebarang masalah mara ke saingan suku akhir apabila diletakkan satu kumpulan bersama Terengganu T-Team, Kuala Lumpur dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Kumpulan D.


Apa pun, detik sama tidak dirasai bekas juara, Kedah yang diundi dalam Kumpulan A dengan lawan seimbang iaitu Perak, Sabah dan Johor. 

Kelantan – jika menepati reputasi dan layak, halangan dalam kelompok lapan terakhir nanti mungkin membabitkan pertembungan dengan juara Piala FA yang baru, Terengganu atau pun Negeri Sembilan. 

Andai The Red Warriors bertemu Negeri Sembilan di peringkat suku akhir, peminat sukan tanah air bakal kembali menyaksikan perlawanan ulangan Piala Malaysia, tahun lalu dan jika berlaku di sebaliknya, Kelantan bakal berentap pasukan tetangga dari Pantai Timur, Terengganu. 

Terengganu yang diundi dalam Kumpulan B akan menentang Negeri Sembilan, Selangor PKNS dan Kuala Lumpur Sime Darby FC. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...