Monday, August 29, 2011

Usah ghairah import pemain


UKUR baju di badan sendiri. Itu peringatan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin terhadap keghairahan pasukan negeri dan kelab yang mahu mendapatkan pemain import dalam saingan Liga Malaysia tahun depan.

Menurutnya, FAM tidak mahu masalah membabitkan pemain import terutamanya berkaitan pembayaran gaji berulang sehingga membabitkan campur tangan pihak yang lebih tinggi seperti Fifa.

“Kami memang membenarkan penggunaan dua pemain import namun ia bukanlah wajib. Saya minta pengurus atau jurulatih agar jangan terlalu ghairah memburu pemain import, pastikan peruntukan mencukupi untuk tempoh satu musim terlebih dulu dan tidak menambahkan lagi beban kewangan.


“Malah untuk sebarang pasukan yang mempunyai kewangan terhad, saya nasihatkan mereka supaya memberikan tumpuan kepada menggunakannya untuk membangunkan pemain tempatan terlebih dulu,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM.

Badan induk bola sepak negara itu mengubah keputusan yang dibuat pada 2009 pada mesyuarat exco Julai lalu apabila membenarkan kembali penggunaan pemain import bagi merancakkan kancah bola sepak tempatan, namun kali ini hanya dua pemain dibenarkan berbanding tiga, seperti sebelum ini.

“Kami juga sudah menetapkan beberapa syarat bagi membolehkan hanya pemain berkualiti dari Divisyen 1 negara Konfederasi Bola Sepak Asia dan Konfederasi Bola Sepak Oceania dan pemain Divisyen 2 Uefa dan Amerika Selatan beraksi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...