Tuesday, September 20, 2011

Dzulkifli yakin Felda mampu melangkah jauh


KUALA LUMPUR - Prestasi baik yang ditunjukkan Felda United dalam kempen Piala Malaysia ketika ini memberi keyakinan bahawa mereka mampu melakar kejutan dalam edisi tahun ini.

Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd. Wahab berkata, prestasi itu adalah hasil kerja keras semua pemain dan pengurusan dalam memastikan mereka mampu memberi saingan hebat kepada pasukan pilihan lain.

"Felda ada meminjam beberapa pemain termasuk dari Harimau Muda dan kombinasi mereka bersama pemain berpengalaman seperti Liew Kit Kong dan Nizaruddin Yusof telah menunjukkan hasilnya apabila kualiti permainan bertambah mantap.

"Namun apa yang lebih penting ialah komitmen mereka sendiri ketika beraksi di atas padang. Jika mereka melangkah jauh, pengurusan akan fikirkan ganjaran untuk mereka," katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Felda semalam.

Skuad kendalian E. Elavarasan mempamerkan aksi baik apabila mengungguli Kumpulan C selepas meraih tiga kemenangan dan sekali seri.

Malahan mereka membuat kejutan apabila mengalahkan juara bertahan, Kelantan 2-0 dan satu lagi pasukan berpengalaman, Johor FC dengan jaringan sama ketika pusingan pertama.

Sementara itu, Dzulkifli berkata, stadium sendiri yang bakal dimiliki Felda di Pahang nanti dianggarkan mampu menampung kapasiti 12,000 penonton pada satu-satu masa.

"Jumlah kos keseluruhan untuk membina kompleks stadium itu ialah RM80 juta termasuk membina hotel yang mempunyai 100 bilik di kawasan sekitar,"katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...