Wednesday, September 21, 2011

Elak jadi belasahan


KUALA LUMPUR - "Jangan jadi pasukan belasahan".

Itu peringatan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa kepada pemain-pemain skuad Olimpik negara yang akan berjuang pada Kelayakan Olimpik menentang Jepun di Stadium Tosu, hari ini.

Tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi, Annuar berkata, dia mengharapkan anak-anak buah Ong Kim Swee mampu memberikan saingan memandangkan kualiti tersendiri yang ada pada Jepun, jelas sukar disaingi oleh Malaysia.

Bagaimanapun, beliau tetap optimis jika Kim Swee menggunakan strategi yang betul dan pemain mampu mengikut strategi yang diberikan, mereka mampu mengekang tuan rumah dan mencuri satu mata berharga daripada tuan rumah.

"Kita terima hakikat Jepun memang merupakan sebuah pasukan yang seimbang daripada segenap posisi dan kekuatan mereka antara terbaik di Asia.

"Perasaan khuatir bahawa kita boleh jadi pasukan belasahan itu memang ada, namun saya yakin para pemain Olimpik mampu menidakkan ramalan itu.

"Saya harapkan mereka mampu menghadirkan persaingan kepada Jepun dan jika ada rezeki, mungkin kita mampu mengekang Jepun daripada memungut mata penuh jika Ong Kim Swee tahu menggunakan strategi yang berkesan, " katanya yang dihubungi, semalam.

Begitupun, beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, pusingan akhir kelayakan Sukan Olimpik perlu dijadikan kayu pengukur sejauh mana kemajuan bola sepak negara menyaingi kuasa besar bola sepak Asia.

"Atas kertas, peluang kita hendak mencipta sekurang-kurangnya satu atau dua kemenangan memang tiada langsung kerana ketiga-tiga negara (Jepun, Bahrain, Syria) yang diundi bersama kita. Jurang mutu bola sepak mereka terlalu jauh berdasarkan kedudukan ranking dan rekod pertemuan dahulu.

"Jika kita gagal mencapai apa-apa keputusan terpuji, itu bermakna perkara asas pembangunan bola sepak kita masih belum cukup baik.

"Cuma saya harapkan persiapan yang FAM buat semenjak empat hingga lima tahun lalu melalui pembentukan skuad Harimau Muda A dan B bagi menghasilkan sebuah pasukan yang mantap benar-benar memberikan pulangan setimpal.

"Ini kerana tiada persatuan bola sepak lain di dunia ini selain kami melakukan persiapan sebegini dengan menghantar berlatih di luar negara, " katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...