Friday, September 16, 2011

Felda tidak lepas peluang


KUALA LUMPUR - Memanfaatkan peluang terhad dan mengerah ilmu pengalaman jelas memainkan peranan dalam menjadikan Felda United 'pemusnah gergasi' menundukkan Kelantan 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Jika pertemuan lalu begitu mudah dan sering menyebelahi Wira Merah, aksi Kumpulan C bola sepak Piala Malaysia kali ini bertukar sama sekali, juga gara-gara padang basah dan becak akibat hujan lebat sebelumnya.

Jurulatih Felda United, E. Elavarasan berkata, yang membezakan pemenang perlawanan itu ialah peluang dan pengalaman walaupun beliau mengakui pelawat lebih banyak mengasak gawang Hamsani Ahmad sepanjang 90 minit permainan.

"Saya tidak sangka kami boleh menang 2-0. Kelantan jelas menguasai bola dan memiliki lebih banyak peluang dalam asakan mereka malah saya rasa kalau seri pun sudah cukup bagus.

"Namun, bezanya ialah dua peluang yang kami peroleh (jaringan Farderin Kadir dan D. Saarvindran) selain dibantu pengalaman penjaga gol seperti Hamsani Ahmad (menafikan tidak kurang empat percubaan Kelantan)," katanya.

Membuka pusingan kedua dengan menentang Johor FC di Stadium Petaling Jaya, Ahad ini pula kata Elavarasan: "Peluang kedua-duanya 50-50. Mereka sebuah pasukan yang berpengalaman dan mara ke separuh akhir musim lalu.

"Kami kena berusaha lebih gigih dan keputusan lalu (Felda menang 2-0 di Pasir Gudang, 6 September) tidak menggambarkan kemampuan sebenar lawan dan kami mesti bermain lebih baik daripada perlawanan itu.''

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...