Friday, September 30, 2011

Irfan fokus pertembungan suku akhir


KUALA TERENGGANU - Keputusan seri tanpa jaringan dengan Negeri Sembilan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah kelmarin tidak merencatkan semangat juang skuad Penyu untuk mara lebih jauh pada kempen kali ini.

Malah jurulatih Terengganu, Irfan Bakti berpuas hati apabila pasukan bimbingannya layak ke suku akhir Piala Malaysia walaupun dengan status naib juara kumpulan di belakang Negeri Sembilan.

Beliau yakin Terengganu akan beraksi lebih baik apabila bertemu Kelantan pada suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah 10 Oktober ini.

Irfan menjelaskan, pemain Terengganu tidak dapat menunjukkan prestasi sebenar ketika menentang Negeri Sembilan kelmarin, kerana beraksi di padang becak akibat hujan lebat dan ribut.

"Saya berpuas hati dengan pencapaian Terengganu yang layak ke suku akhir walaupun seri dengan Negeri Sembilan.

"Tumpuan sekarang ialah untuk layak ke separuh akhir," katanya di sini semalam.
Mengenai aksi menentang Kelantan nanti, Irfan berkata, walaupun berjaya menewaskan pasukan jiran itu pada final Piala FA lalu, ia tidak menyebabkan Penyu mendabik dada.

"Kita akan beraksi seperti biasa pada perlawanan dengan Kelantan di sini (Kuala Terengganu) pada 10 Oktober ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...