Thursday, September 29, 2011

Wan Jamak kekal terajui Kedah?


ALOR SETAR - Wan Jamak Wan Hassan boleh menghela nafas lega kerana kedudukannya sebagai jurulatih Kedah dikatakan masih selamat, meskipun skuad Sang Kenari gagal melepasi peringkat kumpulan saingan Piala Malaysia musim ini.


Utusan Malaysia difahamkan, Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) akan menawarkan kontrak baru kepada Wan Jamak sebagai pembimbing Hijau Kuning musim depan bagi meneruskan corak pengendalian dan sistem latihan yang diterapkan ketika ini.

Untuk rekod, jurulatih berusia 54 tahun itu baru lima bulan mengambil alih jawatan tersebut daripada Ahmad Yusoff pada pertengahan musim ini, ekoran prestasi hambar Sang Kenari.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Dr. Hamdan Mohamed Khalib berkata, persatuan tiada masalah dengan corak baru pengendalian Wan Jamak yang menekankan disiplin selain dilihat memberikan komitmen tinggi kepada skuad Hijau Kuning.

Kata beliau, barisan pemain Kedah juga dapat mengikuti sistem latihan yang dipraktikkan oleh bekas jurulatih Negeri Sembilan itu.

"Bagaimanapun, KFA akan mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk kelab peminat terlebih dahulu mengenai prestasi Wan Jamak bagi membuat penilaian akhir sama ada kontraknya yang berakhir penghujung musim ini akan disambung atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kedah gagal ke suku akhir Piala Malaysia selepas seri 1-1 dengan Perak di Stadium Darul Aman kelmarin dan menghuni tangga keempat Liga Super.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...