Wednesday, October 12, 2011

90 minit penentu nasib Negeri Sembilan


“kita ada 90 minit lagi, kita tidak akan menyerlah kalah sebelum berjuang.” Demikian tegas Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Azraai Khor Abdullah selepas kecewa kekalahan tipis 0-1 kepada Felda United pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2011 di Stadium MBPJ, Selangor malam kelmarin.
Tidak mahu berputus asa kekalahan itu, Azraai Khor berkata, beliau mahu pemain skuad Rusa melupakan kekecewaan itu dan terus bangkit mempamerkan aksi yang terbaik.
Katanya, perlawanan kedua di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi adalah penentu ‘hidup mati' skuad Hoben Jang Hoben sama ada beraksi atau tidak di pentas separuh akhir.
“Kita tidak ada peluang lain, inilah peluang yang kita ada untuk ke separuh akhir iaitu sekurang-kurangnya kena menang 2-0 di tempat sendiri.
“Baki 90 minit ini, saya optimis pemain Negeri Sembilan akan bekerja keras dan memberi persembahan terbaik di hadapan penyokong sendiri,” katanya di Seremban semalam.
Bagi memastikan kejayaan perlawanan penting itu, Azraai Khor memberitahu, beliau akan membuat rombakan pemain dan memperkemaskan taktikal permainan.
Jelasnya, dalam tempoh tiga hari sebelum perlawanan beliau akan membuat latihan menyusun strategi dan menilai kesemua prestasi pemain sebelum disenarai.
“Kita akan memberi fokus pada bahagian serangan kerana perlawanan sebelum ini (menentang Felda United) beberapa peluang yang ada gagal dimanfaatkan oleh pemain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang kecewa tumpas kepada Felda United berkata, pasukan lawan bijak serta pantas melakukan serangan balas dan menyudahkan peluang hingga berjaya menjaringkan gol pada minit ke-60 menerusi K. Rajan.
“Status kelab tidak boleh dipandang rendah, dalam perlawanan macam-macam boleh jadi kalau kita cuai dan hilang tumpuan,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...