Thursday, October 13, 2011

Azraai kekal rangkaian penyerang hadapi Felda


SEKALIPUN gagal memanfaatkan setiap peluang dengan baik, gandingan Hairuddin Omar, Mohd Firdaus Azizul dan Mohd Munir Amran bakal dikekalkan di barisan depan Negeri Sembilan bagi perhitungan terakhir dengan Felda United pada suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam esok.

Jurulatih Mohd Azraai Khior Abdullah menegaskan, pihaknya tidak akan membuat banyak perubahan sebaliknya mengekalkan kesebelasan utama sedia ada, termasuk tiga pemain itu, kerana mereka sudah mempamerkan persembahan cemerlang pada suku akhir pertama, Isnin lalu.

Menurutnya, kekalahan 0-1 kepada Felda United pada perlawanan di Stadium MBPJ itu bukan disebabkan prestasi hambar pemain tetapi atas faktor lain termasuk kecekapan penjaga gol lawan, Hamsani Ahmad.


“Kami tidak bernasib baik selepas banyak percubaan ke arah pintu gol lawan yang dilakukan gandingan Hairuddin, Firdaus dan Mohd Munir serta Shukor Adan berjaya dihalang Hamsani.

“Tetapi kita tidak boleh menangisi kekalahan itu kerana ia sudah berlalu dan apa yang perlu dilakukan ialah pemain perlu memberikan fokus kepada perlawanan penentuan, Jumaat ini.

“Setiap pemain perlu memberikan sepenuh tumpuan sepanjang 90 minit perlawanan itu dan memastikan kemenangan dicapai ke atas Felda United,” katanya semalam.



Namun, Azraai yakin skuad bimbingannya masih berpeluang mencipta kemenangan kerana moral mereka masih tinggi dan sudah bertekad mempamerkan kebangkitan.

“Pemain menyedari tanggungjawab mereka kerana perlawanan itu penentu nasib pasukan musim ini.


“Saya sudah mengingatkan mereka perlu yakin pada diri sendiri, lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang sendiri dengan sokongan padu penyokong yang perlu digunakan sebaik mungkin untuk mencapai kemenangan dan seterusnya membawa pasukan ke separuh akhir.

“Saya juga harap pemain tidak putus asa sebaliknya berjuang habis-habisan untuk memastikan impian mara ke final Piala Malaysia musim ini tidak tersekat,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...