Tuesday, October 11, 2011

Azzuddin naik angin taktik kotor Indonesia


TUAN rumah Sukan Sea 2011, Indonesia cuba bermain ‘kotor’ dengan sengaja menjejaskan persiapan pasukan negara yang bertanding termasuk Malaysia apabila sehingga kini masih belum menetapkan tarikh sepak mula acara bola sepak.

Pada awalnya penganjur menetapkan saingan bola sepak peringkat kumpulan bermula pada 6 November, enam hari sebelum temasya dwi tahunan itu dibuka secara rasmi manakala final akan diadakan pada 22 November.

Namun sehingga ke hari ini tarikh perlawanan itu dilaporkan berubah-ubah oleh media Indonesia sehinggalah yang terbaru akan dipercepatkan pada 3 November.


Selain tarikh yang belum pasti, venue kejohanan juga turut menjadi persoalan apabila tuan rumah terus berteka-teki sama ada mahu mengadakan di Palembang dan Jakarta ataupun satu lokasi saja.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, kebiasaannya, semua perkara sudah dimuktamadkan termasuk undian peringkat kumpulan acara bola sepak.

Beliau mengaku taktik melengah-lengahkan ini menjejaskan persiapan skuad bawah 23 tahun negara yang akan turun mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu di Laos.



“Kita rancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan pada 4 November kerana jurulatih Ong (Kim Swee) mahu menguji skuad terbaiknya sebelum berangkat pada 5 November tapi sekarang kita terperangkap untuk mengadakan perlawanan persahabatan itu kerana belum mendapat berita rasmi pihak penganjur Sukan Sea.

“Jarang pasukan tuan rumah lambat mengadakan undian. Kami juga seperti hilang punca apabila mereka juga tidak menyatakan di manakah lokasi acara bola sepak akan dijalankan. Bagaimanapun masalah ini akan cuba dibincangkan pada Mesyuarat Majlis AFF ke-3 di Vientiane pada 16 Oktober ini dan saya harap kita akan mendapat keputusan di situ,” katanya.

Azzuddin berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sidang media majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100PLUS-Astro Arena-FAM semalam.

Majlis anugerah itu akan diadakan di Holiday Inn Glenmarie pada 1 November ini dengan menyaksikan 10 kategori dipertandingkan iaitu Penjaga Gol Terbaik, Pertahanan Terbaik, Pemain Tengah Terbaik, Penyerang Terbaik, Jurulatih Terbaik, Pemain Harapan, Pemain Paling Bernilai, Persatuan Bola Sepak Terbaik, Kelab Terbaik dan Kelab Penyokong Terbaik.

Sementara itu, turut menambah tekanan kepada FAM apabila Syria sehingga kini turut membisu dengan permohonan mereka untuk menunda perlawanan Kumpulan C kelayakan Olimpik London pada 23 November kepada 24 November.

Ini kerana jika Malaysia beraksi di final Sukan Sea, pemain-pemain perlu berehat selama 48 jam selepas perlawanan antarabangsa mengikut peraturan Fifa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...