Thursday, October 20, 2011

Harimau Muda bukan berjiwa kecil


KUALA LUMPUR - Skuad bawah 23 negara hanya akan dianggap berjiwa kecil sekiranya berasa nasib mereka bakal lebih baik sekiranya tidak diundi lebih awal untuk bertemu dengan lawan tertentu seperti Thailand, Indonesia dan Singapura apabila mempertahankan pingat emas bola sepak pada Sukan SEA Indonesia, bulan depan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, sebagai juara bertahan, anak buah Ong Kim Swee sepatutnya sudah cukup bersedia untuk menghadapi siapa sahaja pada temasya dari 11 hingga 22 November ini, walaupun dalam masa yang sama, turut bersaing dalam pusingan akhir Kelayakan Olimpik 2012.

Mengulas mengenai undian Kumpulan A Sukan SEA, semalam, yang turut menemukan kita dengan Kemboja, kata beliau: "Bukan satu masalah untuk kita selaku juara bertahan dalam menerima sesiapa sahaja lawan.

"Sesiapa yang cuba mengelak jumpa pasukan tertentu, cuma layak dianggap berjiwa kecil.

"Yang membezakan setiap pasukan ialah kecergasan, kemahiran dan strategi pada hari perlawanan. Saya rasa tiada apa yang kurang dengan persediaan pasukan kita sekarang," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil.

Razali percaya Kim Swee mempunyai perancangan terbaik dan keutamaan tertentu dalam menangani pertembungan jadual perlawanan Sukan SEA dengan Kelayakan Olimpik khususnya apabila menentang Syria dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan, bulan depan.

Mesyuarat jawatankuasa memutuskan sasaran layak ke Piala Dunia Bawah 17 pada 2019 buat kumpulan pemain berusia bawah sembilan tahun dari sekarang yang dibentuk dan dicungkil daripada program pembangunan seperti MyKid Soccer, Juara Antara Juara dan Liga Kementerian Pelajaran.

"Semua program ini dibiayai dengan peruntukan RM10 juta tahun lalu bagi Tabung Pembangunan Bola Sepak Negara yang melibatkan 112 jurulatih dan 1,680 pemain dari 14 negeri, selain mendapat kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN), Kementerian Pelajaran dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Program lain di bawah tabung ini, turut menjalin kerjasama menempatkan pemain Harimau Muda A, Haziq Zikri Elias menjalani pengajian ijazah Pengurusan Perniagaan Sukan dengan Kolej Sukan Hartbury, United Kingdom (kira-kira 45 minit ke Cardiff City) sementara lima lagi mengambil pengurusan bola sepak di universiti tempatan Cyberjaya," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...