Thursday, October 20, 2011

Irfan tetap waspada kebangkitan Selangor Sabtu ini



Pemain Terengganu, Joseph Kalang Tie (kiri) melepasi halangan pemain Selangor pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.


SHAH ALAM - Biarpun memiliki kelebihan dua gol untuk aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di padang sendiri, jurulatih Terengganu Irfan Bakti tetap menyasarkan kemenangan pada perlawanan di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Dia menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Selangor di Stadium Shah Alam Selasa lalu belum selamat buat skuad Penyu untuk memasang angan-angan ke pentas akhir.

Berikutan itu, Irfan menggesa anak-anak buahnya mengekalkan rentak yang sama jika mahu mengecewakan Red Giants buat kali kedua.

"Saya tetap menghormati Selangor walaupun kami memenangi perlawanan malam ini. Selangor sudah pasti akan berusaha untuk bangkit pada perlawanan kedua nanti dengan mendapatkan gol awal.

"Walaupun kami mendahului pada separuh akhir pertama, kami akan meneruskan corak permainan menyerang seperti mana yang kami buktikan ketika kami menyingkirkan Kelantan.

"Kami menang 3-1 pada perlawanan suku akhir pertama tetapi kami tetap bermain secara menyerang pada suku akhir kedua di Kota Bharu.

"Perlawanan separuh akhir masih ada 90 minit, kami tetap mahu cuba mendapatkan kemenangan di tempat sendiri, " katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.

Abdul Manaf Mamat, yang baru kematian bapanya tidak sampai seminggu, muncul wira Peteh apabila menyumbat dua gol pada minit pertama dan ke-32 sekali gus meletakkan Terengganu ke pentas akhir buat kali pertama dalam tempoh 10 tahun.

Mengulas perlawanan kelmarin, Irfan gembira kerana pemain beraksi seperti dirancang dengan gol awal yang tercipta pada minit pertama memberikan impak kepada persembahan pasukannya.

"Saya memang mahukan pemain cukup bersedia untuk hadapi perlawanan ini dan mereka membuktikannya pada malam ini dengan bermain mengikut apa yang saya rancang.

"Asaari Samsudin dan Manaf Mamat antara yang cemerlang pada malam ini kerana banyak mencipta gerakan kepada rakan sepasukan, selain memberi bantuan dari bahagian bawah," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...