Saturday, October 15, 2011

Jang pamer belang sebenar di Paroi


NEGERI Sembilan terpaksa menunggu hingga ke masa tambahan untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Felda United dengan agregat 3-1 pada saingan suku akhir kedua, di Stadium tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.

Selepas tempoh 90 minit berkesudahan agregat 1-1, tuan rumah yang mendapat sokongan kira-kira 30,000 penyokong berjaya melakukannya menerusi jaringan Idris Karim yang menanduk bola muntah untuk gol kedua disusuli tandukan Hairuddin Omar pada minit ke-113.

Terdahulu Negeri Sembilan mendahului lawan hasil jaringan Hairuddin Omar pada minit ke-16 untuk mengikat 1-1, namun kedudukan kekal hingga tamat 90 minit perlawanan sebenar sekali gus memaksa masa tambahan.


Dalam aksi malam tadi, Negeri sembilan yang turun dengan membariskan pemain berpengalaman mengasak gawang Felda United sebaik wisel permainan ditiupkan dan melakukan percubaan pertama seawal minit ketiga tapi tandukan Mohd Firdaus Azizul tidak menepati sasaran.

Namun, Felda United yang turun dengan kelebihan satu gol memberi saingan menerusi gandingan penyerang, Liew Kit kong dan Faderin Kadir apabila beberapa percubaan mencemaskan kubu tuan rumah.

Begitupun, misi anak buah Azraai Khor Abdullah untuk mendapatkan gol awal berhasil apabila Hairuddin Omar menunjukkan kebijaksanaannya apabila menyudahkan hantaran cantik Shahurain Abu Samah untuk menewaskan Hamsani Ahmad bagi gol pertama Negeri Sembilan pada minit ke-16 sekali gus menyamakan agregat 1-1.


Jaringan itu menaikkan semangat pemain Negeri Sembilan untuk melebarkan jurang dan memperkukuhkan kedudukan namun asakan bertali arus mereka ke kubu Felda United dapat dikekang benteng pelawat sehingga tamat separuh masa pertama.

Negeri Sembilan terus menggandakan asakan sebaik separuh masa kedua bermula, namun barisan depan diterajui Hairuddin Omar dan Mohd Firdaus Azizul gagal melepas benteng lawan. Menyedari hakikat itu, penyerang sensasi mereka, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dimasukkan pada minit ke-65 menggantikan Firdaus.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...