Wednesday, October 12, 2011

Karathu yakin bangkit


KOTA BHARU - "Perlawanan masih ada 90 minit, dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku." Demikian tegas jurulatih Kelantan, Datuk M.Karathu selepas pasukannya kalah 1-3 kepada Terengganu pada suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.

Meskipun bakal berdepan laluan sukar untuk mendapatkan dua jaringan pada aksi kedua nanti, Karathu yakin Kelantan mampu bangkit pada perlawanan kedua Jumaat ini di Stadium Sultan Mohammed IV.

"Saya mahu pemain melupakan aksi malam tadi (kelmarin). Kita masih ada baki 90 minit untuk diharungi pada perlawanan kedua nanti. Jadi kita harus gunakan peluang tersebut sebaik mungkin.

"Apa yang penting, pemain perlu bekerja dengan lebih kuat dan memberikan tumpuan sepenuhnya pada perlawanan tersebut, yang akan menentukan nasib pasukan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Pada perlawanan kelmarin, Terengganu yang beraksi di gelanggang sendiri mencatat kemenangan selesa 3-1 ke atas Kelantan selaku juara bertahan Piala Malaysia dalam perlawanan 'tegang' dengan lima kad merah dilayangkan oleh pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab.

Tiga pemain Red Warriors yang menerima kad merah ialah Mohd. Shakir Shaari pada minit ke-31, Mohd. Daudsu Jamaludin (ke-34) dan Muhammad Abdul Aziz Ismail pada minit-minit akhir perlawanan.

Sementara dua pemain tuan rumah yang mendapat kad merah ialah Ismail Faruqi dan Zubir Azmi masing-masing pada minit-minit akhir separuh masa pertama dan kedua.

Mengulas mengenai perlawanan kelmarin, Karathu mengakui dua kad merah dalam tempoh tiga minit ke atas Mohd. Shakir dan Mohd. Daudsu memberi kesan kepada pasukan.

"Ketiadaan dua pemain tersebut menjejaskan persembahan pasukan. Bagaimanapun kami berjaya mengimbangi perlawanan dan mencipta beberapa peluang gol, namun gagal menemui sasaran.

"Saya berpuas hati dengan apa yang telah ditunjukkan oleh barisan pemain, dengan mempamerkan semangat juang yang tinggi," katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...