Tuesday, October 11, 2011

Kelantan parah, Selangor selesa


KUALA LUMPUR - Terengganu mencatat kemenangan berharga 3-1 ke atas juara bertahan Piala Malaysia, Kelantan dalam perlawanan tegang dengan lima kad merah dilayangkan oleh pengadil, Mohd. Nafeez Abd. Wahab di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

Ismail Faruqi meletakkan skuad Penyu mendahului pada minit ke-43 ketika Kelantan bermain dengan sembilan pemain, selepas Shakir Shaari dan Mohd. Daudsu Jamaludin menerima kad merah pada minit ke-31 dan 34.

Kegembiraan Ismail tidak bertahan lama apabila Nafeez menghadiahkan kad merah kepada penjaring gol pertama Terengganu itu pada penghujung separuh masa pertama akibat menerima dua kad kuning.

Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badri Radzi kembali memastikan Kelantan berada pada landasan apabila menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti pada minit ke-78.

Namun, Terengganu memastikan Kelantan pulang hampa apabila Abdul Manaf Mamat memanfaatkan sepakan penalti pada minit ke-88, sebelum tonggak pertahanan Peteh,

Marzuki Yusof menambah derita Red Warriors pada masa kecederaan separuh masa kedua.

Dua lagi kad merah dilayangkan oleh pengadil sebelum perlawanan berakhir apabila pertahanan Terengganu, Zubir Azmi dan pertahanan Kelantan, Aziz Ismail bergaduh sebelum perlawanan berakhir.

Di Stadium Shah Alam, Selangor meleburkan rekod tanpa kalah Perak dalam kempen Piala Malaysia selepas mencatatkan kemenangan selesa 3-1.

Safiq Rahim membuktikan dia masih mempunyai bisa untuk bermain dengan skuad kebangsaan apabila meledak dua jaringan awal melalui sepakan percuma pada minit ke-12 dan ke-57.

Mohd. Amirulhadi Zainal memberikan keselesaan dengan gol ketiga pada minit ke-62 selepas berjaya mengelak diri daripada berada pada kedudukan ofsaid.

Perak berjaya mencuri satu gol melalui Mohd. Failee Mohd. Ghazli pada minit ke-76.

Di Stadium Likas, Sabah gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri apabila tewas 1-2 kepada T-Team.

Bekas pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayudin meletakkan T-Team di hadapan pada minit ke-34, sebelum Alto Linus kembali menghidupkan harapan Sabah dengan gol penyamaan pada minit ke-46.

Namun, lima minit sebelum permainan tamat, Indra Putra muncul wira T-Team dengan menjaringkan gol kemenangan bagi memastikan pasukan Pantai Timur itu pulang ke Kuala Terengganu dengan membawa kelebihan satu gol.

Felda United mengejutkan naib juara Piala Malaysia edisi lalu, Negeri Sembilan menerusi jaringan tunggal Mohd Badrul Azam Mohd Zamri pada minit ke-58 di Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...