Thursday, October 13, 2011

Kim Swee ada Pelan B


JURULATIH skuad bola sepak negara, Ong Kim Swee tidak mahu cepat melatah dengan cubaan provokasi tuan rumah sukan Sea, Indonesia sebaliknya bersedia merancang Pelan B bagi mengatasi sebarang usaha untuk menjejaskan persiapan skuad negara mempertahankan pingat emas November ini.

Menurut pengendali negara itu, sehingga kini beliau masih menunggu keputusan rasmi Jawatankuasa Penganjur Sukan Sea Indonesia (Inasoc) sama ada benar tarikh acara bola sepak dipercepatkan pada 3 November berbanding 6 November sebelum ini.

Selain tarikh dan venue gelanggang di Palembang dan Jakarta yang belum diputuskan, tuan rumah juga hingga kini belum mengadakan undian acara bola sepak.


“Sama ada ini strategi mereka ataupun tidak, kita tak perlu melatah sebaliknya fokus kepada persiapan. Kita perlu ada pelan B, apabila mereka cuba membuat provokasi sebegini kita tak perlu melatah, biarkan saja apa yang mereka mahu buat.

“Jika mahu mempercepatkan sepak mula acara bola sepak, saya terpaksa memanggil tiga pemain kita di Vion untuk pulang awal pada 24 Oktober ini dan selepas itu saya akan mengadakan ujian terakhir selepas menyertai kejohanan VFF nanti untuk menguji semua pemain sebelum berangkat ke Indonesia,” katanya.

Mengikut perjanjian awal dengan kelab Liga Satu Slovakia, ViOn Zlate Moravce, tiga pemain Harimau Muda A yang dipinjamkan iaitu Mohd Fadhli Shas, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohd Irfan Fazail hanya akan pulang bersama skuad Sukan Sea pada 30 Oktober ini.



Sebelum menyertai kejohanan jemputan Piala Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) di Hanoi selama lima hari bermula 19 Oktober ini, Kim Swe akan terlebih dulu menguji barisan pemain bawah 23 tahun dengan skuad kebangsaan Nepal Sabtu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, jam 5.15 petang.

“Saya akan menggunakan perlawanan dengan Nepal untuk menguji semua pemain yang akan dibawa ke Hanoi. Di Hanoi saya akan cuba untuk mencuba pemain dan menerapkan strategi tertentu apabila bertemu pasukan Uzbekistan, Myanmar dan Vietnam. Daripada situ saya akan menilai pemain yang akan mewakili negara ke Sukan Sea,” katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...