Tuesday, October 25, 2011

N9futbol kesal harga tiket final melampau


KELAB e-Penyokong Bola Sepak Negeri Sembilan (N9futbol) kesal dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan harga tiket perlawanan akhir Piala Malaysia daripada RM30 musim lalu kepada RM50 tahun ini, kerana menyifatkan ia sesuatu yang membebankan peminat dan penyokong yang ingin bertandang ke stadium.

Timbalan Presiden, Mohd Faidzul Mohd Noh berkata, langkah yang dibuat badan induk bola sepak negara itu tidak wajar kerana kenaikannya terlalu tinggi dan disifatkan sebagai melampau selain boleh menggugat rasa minat penyokong untuk ke stadium.

Menurutnya, walaupun pihaknya difahamkan wang hasil kutipan tiket itu akan diserahkan kepada persatuan bola sepak negeri tapi itu bukan alasan yang sepatutnya dibuat bagi menaikkan harga tiket.


“Jika dibandingkan harga tiket pada 2009, FAM hanya mengenakan sebanyak RM20 bagi perlawanan akhir manakala mereka menaikkan kepada RM30 pada tahun lalu dengan alasan dan jaminan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di stadium tapi apa yang berlaku masih ada penyokong yang membawa bahan letupan ke dalam stadium hingga menjejaskan keselamatan.

“Apa rasionalnya FAM menaikkan lagi harga tiket bagi perlawanan akhir kali ini, adakah atas alasan yang sama sedangkan hakikatnya mereka gagal melaksanakan tanggungjawab sepatutnya,” katanya semalam mengulas mengenai kenaikan harga tiket perlawanan akhir yang akan mempertemukan Negeri Sembilan dan Terengganu, Sabtu ini.

Mohd Faidzul berkata, pada ketika tahap kos hidup yang tinggi ketika ini, kenaikan harga tiket itu amat dikesali kerana membebankan orang ramai kerana mereka juga perlu menyediakan kos perjalanan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...